Umno bersatu sokong calon MCA untuk PRK Tanjung Piai


Lee Chi Leong

UMNO berjaya menyelesaikan ketidakpuasan hati di kalangan akar umbi berhubung pemilihan Wee Jeck Seng sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, kata Presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pada mulanya sentimen untuk calon Umno kuat tetapi ia kini berjaya ditangani.

“Kami sudah mengadakan pertemuan, dan walaupun sentimen kuat pada mulanya, kini semua perkara sudah tenang.

“Mereka akan berusaha untuk memastikan kemenangan calon MCA yang akan mewakili BN dan tidak akan ada isu perkauman mengenai hal ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Zahid berkata akar umbi menerima keputusan itu dalam semangat perpaduan BN dan jentera gabungan akan memastikan kemenangan Wee.

BN mengumumkan Wee sebagai calonnya semalam ketika cakap-cakap berlegar yang Umno mahu bertanding di kerusi itu.

Pengundian untuk kerusi itu pada 16 November manakala hari penamaan calon pada 12 November.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai diisytiharkan kosong selepas penyandangnya Md Farid Md Rafik meninggal dunia bulan lalu akibat komplikasi jantung.

Wee adalah ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal sebelum kalah kepada Farid dengan perbezaan 524 undi tahun lepas.

Pada pilihan raya umum 2013, Wee memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,457 undi.

Tahun lalu, calon PAS, Nordin Othman menerima 2,962 undi, sementara Wee mendapat 20,731, dengan total berjumlah 23,693, yang hanya kurang 2,000 berbanding Farid.

PRK ini akan menjadi yang pertama sejak Umno dan PAS menandatangani perjanjian kerjasama bulan lalu, dan akan menguji kepercayaan bahawa asas sokongan gabungan kedua-dua parti Melayu dapat mengalahkan Pakatan Harapan.

PAS mengumumkan ia tidak akan bertanding kerusi itu.

Tanjung Piai mempunyai 52,986 pengundi berdaftar, dengan 26,565 di kawasan DUN Kukup dan 26,421 di Pekan Nenas.

Pecahan kaum pengundi adalah 57% Melayu, 42% Cina dan 1% India. – 31 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen