KWSP bebas buat keputusan pelaburan, kata CEO


KWSP yang disenaraikan sebagai sebuah GLIC boleh menimbulkan salah tanggapan yang kerajaan mungkin mempengaruhinya dari segi membuat keputusan pelaburan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2019.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bebas apabila berkaitan membuat keputusan pelaburan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias.

Beliau berkata KWSP yang disenaraikan sebagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) boleh menimbulkan salah tanggapan bahawa kerajaan mungkin mempengaruhinya dari segi membuat keputusan pelaburan.

“Tidak, kerajaan tidak mempunyai pengaruh dari segi cara kami menjalankan perniagaan kami,” katanya pada Sidang Kemuncak Korporat Permodalan Nasional Bhd (PNB) di Kuala Lumpur, hari ini.

Tunku Alizakri merupakan ahli panel pada sidang kemuncak tersebut.

Beliau berkata KWSP selama ini membuat banyak keputusan pelaburan untuk kebaikan ahli-ahlinya.

Tunku Alizakri turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan penggiat swasta untuk saling melengkapi antara satu sama lain untuk kepentingan negara.

“Penggiat swasta perlu memberi tumpuan kepada menjana wang, yang merupakan kepakaran mereka. GLC perlu lebih daripada itu dalam merancang untuk tempoh jangka panjang, menyediakan infrastruktur yang sesuai untuk memastikan pertumbuhan Malaysia,” katanya.

Sidang kemuncak selama sehari yang diadakan buat julung kalinya bertemakan, “Rebooting Corporate Malaysia”, dihadiri kira-kira 500 peserta untuk membincangkan isu-isu penting berkaitan sektor korporat, seperti keperluan kepada pemodenan dan transformasi. – Bernama, 30 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen