Mahasiswa jangan jadi kuda tunggangan, kata Dr Mahathir


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata sebagai pelapis kepimpinan negara, mahasiswa mesti rasional dan berintegriti supaya tidak melanggar norma budaya di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Oktober, 2019.

DR Mahathir Mohamad mengingatkan mahasiswa supaya jangan jadi kuda tunggangan mana-mana pihak dalam apa juga tindakan atau keputusan mereka.

Perdana menteri berkata, sebagai pelapis kepimpinan negara, mahasiswa mesti rasional dan berintegriti supaya tidak melanggar norma budaya di Malaysia.

“Setiap perkara yang diputuskan hendaklah jauh dari desakan emosi, membuta tuli atau hasutan pihak lain agar darjat dan kedudukan mahasiswa tidak dipertikaikan.

“Apabila mahasiswa dilihat sebagai kader atau tunggangan sesuatu kelompok berkepentingan, jati diri serta hormat masyarakat terhadap mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan negara masa depan akan tercalar,” katanya.

Dr Mahathir menyampaikan perutusan di mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di Putrajaya, hari ini.

Mesyuarat MPPK merupakan platform penglibatan secara langsung mahasiswa memberikan pandangan dan cadangan kepada kerajaan menyentuh soal penggubalan dasar negara.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan mengambil pendekatan syura dengan mengadakan perbincangan secara bersama dalam memastikan suara mahasiswa dapat didengari melalui konsep bermusyawarah.

Bagaimanapun kata Dr Mahathir, mahasiswa perlu menggunakan ruang kebebasan yang diberikan oleh kerajaan dengan rasa bertanggungjawab supaya peluang untuk terlibat secara langsung dalam sistem pentadbiran negara tidak disalah guna.

“Setiap kebebasan yang kita mahukan harus kita semai dengan nilai-nilai yang baik dan diiringi dengan integriti yang tinggi. Kebebasan itu, seperti kemerdekaan, amat bernilai. 

“Jika ia tidak diisi dengan nilai serta adab yang baik, kebebasan itu menjadi kosong dan tidak bermakna ataupun membawa erti yang besar,” katanya. – 30 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen