Komisyen AS$85 juta, eksekutif PetroSaudi ‘beraya awal’ pada 2009


Bede Hong Timothy Achariam

Najib Razak berdepan 25 pertuduhan jenayah kerana peranannya dalam penyelewengan dana 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Oktober, 2019.

GOOD Star membayar CEO PetroSaudi International Tarek Obaid sebanyak AS$85 juta (RM255 juta) pada 5 Oktober 2009, beberapa hari selepas syarikat itu menerima AS$700 juta daripada 1MDB, menurut dokumen diserahkan kepada mahkamah tinggi hari ini.

Bekas CEO 1MDB Shahrol Ibrahim Halmi mengesahkan dokumen yang menunjukkan bayaran dibuat daripada akaun Good Star di RBS Coutts kepada akaun Tarek di JP Morgan.

Dokumen tambahan juga menunjukkan dua minggu kemudian, pada 20 Oktober, AS$33 juta dipindahkan daripada akaun Tarek kepada sekutunya, Pengarah PetroSaudi Patrick Mahoney, kata saksi ketika sesi soal balas dibuat peguam Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib Razak.

Shafee: Tarek membuat bayaran kepada Patrick Mahoney. AS$85 juta. Dia kongsi dengan Patrick Mahoney.

Shahrol: Ya.

Shafee: Krismas (beraya) awal tahun itu ya?

Shahrol mengangguk tanda setuju.

Lima hari selepas perjanjian usaha sama berjumlah AS$1 bilion ditandatangani antara 1MDB dan PetroSaudi pada 25 September, AS$300 juta dibayar kepada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd dan AS$700 kepada Good Star Ltd tanpa kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB.

Siasatan kemudian mendapati kedua-duanya syarikat palsuk, dengan Good Star Ltd dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau mesra dengan panggilan Jho Low.

Pendakwaan menuduh Najib bersubahat dengan Low untuk menipu dana kekayaan negara, 1MDB.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram jumlah yang sama.

Ketika sesi soal balas berlaku tengahari tadi, Shahrol, 49, berkata beliau tidak sedar yang AS$700 juta masuk ke dalam akaun Good Star dan juga tidak tahu jumlah komisyen dibayar kepada Tarek.

Shafee: Adakah ini komisyen jujur atau rompakan terang-terangan?

Shahrol: Saya tak cukup maklumat untuk tentukan.

Shafee: Apa jenis komisyen begini, bila seseorang boleh dapat AS$85 juta?

Shahrol: Untuknya kerana berjaya dapatkan AS$2.5 bilion untuk usaha sama itu; AS$1 bilion daripada 1MDB dan AS$1.5 bilion daripada PSI.

Shafee: Lebih daripada 10% komisyen.

Shahrol: Ya.

Saksi memberitahu mahkamah yang beliau hanya mengetahui penipuan dibuat 1MDB daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tahun lepas.

Najib diwakili sekumpulan peguam diketuai Shafee, Gopal Sri Ram menerajui pihak pendakwaan. Kes didengar oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah.– 30 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen