JANJI Pakatan Harapan untuk melakukan pembaharuan ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) nampaknya menguntungkan parti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Bersatu.
Perkara itu didedahkan kajian Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) yang mengesan perubahan dalam “laluan pelaporan” pelbagai GLC di bawah empat kementerian utama.
Kajian mendapati sembilan syarikat utama di bawah Kementerian Kewangan sudah dipindahkan untuk melapor secara terus kepada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Kajian bertajuk “GLC Monitior, 2019: State of Play Since GE14” mendapati walaupun Lim Guan Eng adalah menteri kewangan, syarikat utama negara termasuklah dana kekayaan negara Khazanah Nasional dan dana pelaburan negara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dipindahkan kepada PMO.
“Kedua-dua GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) itu mempunyai pelaburan besar dalam syarikat utama yang tersenarai di pasaran saham Malaysia, seterusnya memberikan perdana menteri pengaruh besar di dalam perusahaannya,” kata laporan.
Kajian turut mendapati yang syarikat dipindahkan daripada Kementerian Kewangan itu sebelum ini dikawal oleh Umno kerana menteri kewangan adalah wakil rakyat Barisan Nasional, kini dipegang oleh Bersatu dan PKR.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Usahawan diterajui menteri Bersatu, manakala Kementerian Hal Ehwal Ekonomi diketuai Azmin Ali (PKR).
Mohd Redzuan Yusof adalah menteri usahawan dan Rina Harun adalah menteri luar bandar, kedua-duanya wakil rakyat Bersatu.
Ideas berkata syarikat di bawah kementerian terbabit meliputi skop besar sektor korporat Malaysia.
Kementerian Kewangan masih mempunyai beberapa GLC dibawahnya, walaupun prestasi mereka tidak memuaskan. – 30 Oktober, 2019.
Komen