Gangguan air di Gombak, KL malam esok, kata Air Selangor


Gangguan itu melibatkan 120 kawasan di Gombak dan 57 kawasan di Kuala Lumpur, melibatkan 119,630 akaun pelanggan berdaftar dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2019.

PENGGUNA air di sekitar Ampang, Hulu Klang, Bukit Antarabangsa serta beberapa tempat di Kuala Lumpur dinasihati menyimpan air untuk kegunaan pada Jumaat susulan gangguan air sementara selama 23 jam bermula malam esok, kata Air Selangor.

Gangguan itu melibatkan 120 kawasan di Gombak dan 57 kawasan di Kuala Lumpur, melibatkan 119,630 akaun pelanggan berdaftar dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

“Pelanggan yang terlibat dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan.

“Air Selangor akan menggerakkan bantuan lori-lori tangki air dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan,” kata Air Selangor dalam makluman di laman webnya.

Makluman di laman web itu turut menyertakan senarai penuh kawasan yang terlibat.

Gangguan antara 9 malam esok hingga 8 malam Jumaat ini berlaku ekoran kerja kecemasan penggantian injap di kawasan Kolam Air Kepong Estate yang mengalami kebocoran serius.

Air Selangor memaklumkan kerja-kerja penggantian injap itu kritikal dan perlu dilaksanakan segera.

“Ia bagi mengelakkan insiden di luar jangkaan yang boleh menjejaskan bekalan air kepada pelanggan,” kata makluman itu. – 30 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen