Tiada perbicaraan adil di bawah Sosma, kata peguam


Sosma bercanggah dengan prinsip keadilan, kata Syahredzan Johan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2019.

MEREKA yang dituduh dengan kesalahan berkaitan keganasan atau kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), tidak akan mendapat perbicaraan adil kerana ia bercanggah dengan prinsip keadilan, kata seorang peguam.

Syahredzan Johan dalam satu kenyataan hari ini turut mendesak supaya Sosma dihapuskan atau digantikan dengan akta lain “sekiranya perlu” kerana terlalu banyak peruntukan Sosma tidak mampu memberikan perbicaraan adil kepada tertuduh.

Syahredzan yang juga setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang, turut memberikan contoh bagaimana ia melanggar prinsip keadilan dalam aspek pengumpulan bukti.

“Sosma juga mempunyai peruntukan-peruntukan yang bertentangan dengan peraturan keterangan dan pembuktian yang termaktub dalam Akta Keterangan.

“Contohnya, menurut Seksyen 18A Sosma, apa-apa pernyataan oleh seseorang tertuduh sama ada secara lisan atau bertulis kepada mana-mana orang pada bila-bila masa hendaklah diterima (admissible) sebagai keterangan,” katanya.

Disebabkan itu, menurut Syahredzan, pernyataan tertuduh yang dibuat ketika soal siasat dan tekanan masih boleh diterima dan ia tidak boleh dicabar ketika perbicaraan di mahkamah.

Katanya lagi, ini adalah situasi yang biasa berlaku apabila tertuduh membuat “pengakuan” dalam keadaan tertekan bagi menamatkan penahanannya.

“Maka, apa yang selalu terjadi dalam kes-kes melibatkan tahanan Sosma adalah individu yang ditahan akan diberi tekanan untuk menandatangani suatu ‘pengakuan’ di bawah Seksyen 18A Sosma, dan yang akan kemudiannya digunakan di mahkamah. Kebolehterimaan ‘pengakuan’ ini tidak boleh dicabar kerana peruntukkan Seksyen 18A.”

Satu lagi peruntukan yang tidak adil, kata Syahredzan lagi adalah apabila tertuduh yang didakwa kerana kesalahan keganasan tidak boleh diikat jamin.

“Malahan sekiranya seseorang didapati tidak bersalah sekalipun di akhir perbicaraan, orang yang dituduh masih tidak boleh dibebaskan oleh mahkamah sehinggalah proses rayuan dilupuskan di mahkamah atasan.

“Ini bermakna, tertuduh ‘dihukum’ sepanjang proses undang-undang sedang berlangsung di mahkamah, bertentangan dengan prinsip bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum selagi tidak dibuktikan bersalah,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan pagi ini selepas 10 individu yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) didakwa kerana memiliki bahan larangan dikaitkan dengan kumpulan itu.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat di bawah Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua 10 individu itu adalah antara 12 yang ditahan di bawah Sosma dan didakwa semalam di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Johor.

Semua mereka tidak dibenarkan ikat jamin.

Syahredzan juga mempersoalkan Seksyen 14 yang membenarkan perlindungan saksi yang mana identiti mereka tidak didedahkan, serta Seksyen 20 yang membenarkan kebolehterimaan (admissibility) semua barang dan dokumen yang disita dalam apa jua keadaan sekalipun dan lain-lain.

“Kesan keseluruhan peruntukan ini ialah individu yang dituduh di bawah kesalahan keselamatan dan dibicarakan di bawah Sosma tidak mendapat perbicaraan yang adil.”

Jelasnya, walaupun rakyat Malaysia menyokong usaha menentang keganasan atau ancaman kepada keselamatan negara, undang-undang mengekangnya perlulah berdasarkan prinsip keadilan dan hak asasi. 

“Mana-mana undang-undang mestilah menjunjung prinsip keadilan dan hak asasi manusia yang sudahpun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya. – 30 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen