UMNO dan MCA tidak akan memboikot Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai jika calon Barisan Nasional (BN) bukan terpilih dari parti mereka, kata pemimpin akar umbi.
Sumber malam tadi memberitahu The Malaysian Insight, BN setuju mencalonkan semula Wee Jeck Seng bertanding di Tanjung Piai.
Pemimpin akar umbi Umno dan MCA menafikan dakwaan kononnya jentera parti masing-masing akan menutup bilik gerakan sebagai tanda protes sekiranya hasrat mereka tidak dipenuhi oleh pimpinan BN.
Dakwaan itu sebaliknya adalah propaganda yang sengaja dimainkan terutamanya oleh Bersatu, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya itu nanti, kata Umno dan MCA Tanjung Piai.
Timbalan Ketua Bahagian MCA Tanjung Piai, Tan Eng Meng menegaskan BN tidak mengumumkan calonnya pada Isnin bukan kerana Umno dan MCA bertelagah untuk menentukan calon.
“Kita memang sudah dimaklumkan petang (semalam) hanya pelancaran jentera sahaja, tiada umum calon,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Jelas Tan, MCA Tanjung Piai akan akur dengan keputusan parti dan menyokong siapa pun yang dinamakan sebagai calon BN.
“Kita tidak akan tutup bilik gerakan, boikot. Itu cakap sebelah sana (PH).
“Kita ikut sahaja keputusan yang dibuat oleh pemimpin kita. Kita bersedia siapa juga calon,” katanya.
BN dilaporkan sebelum ini akan mengumumkan calonnya kelmarin, dua jam selepas PH memperkenalkan calonnya. PH kelmarin menamakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calonnya.

Bagaimanapun semasa program pelancaran jentera PRK Tanjung Piai di Bangunan Umno Pontian kelmarin, Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad mengumumkan BN tidak jadi menamakan calonnya pada majlis itu.
Katanya, pembatalan itu strategi parti dan BN berjaya mengelirukan PH.
“Jadi dia tertewas, kita tidak akan umum pada hari ini. Sebelah sana (PH) tertipu dengan kita,” katanya.
Susulan itu, aktivis dan penyokong Bersatu sejak malam kelmarin menyebarkan poster bermesej propaganda mendakwa BN gagal mengumumkan calonnya kerana pergolakan antara Umno dan MCA.
Ada juga poster ucapan tahniah kepada Wee, yang juga Ketua Bahagian MCA Tanjung Piai, kerana terpilih menjadi calon BN. Poster itu kononnya dikeluarkan oleh jentera pilihan raya Umno Johor.
Salah satu mesej propaganda yang tersebar berbunyi: “Amaran terakhir dari Umno Bahagian Tanjung Piai, batalkan pemilihan Wee Jeck Seng atau 58 cawangan Umno akan boikot PRK ini.”
Walaupun hanya propaganda, Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Piai, Syahrulzaman Ibrahim bagaimanapun mengakui boikot oleh jentera parti tetap akan ada, seperti lazimnya dalam setiap pilihan raya.
“Saya tidak menolak akan ada yang boikot disebabkan emosi. Perkara ini biasa dalam pilihan raya. Kalau letak calon Umno pun perkara ini tetap berlaku.
“Mana boleh kita puaskan hati semua pihak tetapi orang Melayu ini marah sekejap sahaja. Lepas habis marah tetap akan bantu kempen juga,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Apa yang penting jelasnya ialah pimpinan mendengar suara akar umbi supaya tindakan boikot sekiranya ada, minimum dan terkawal.
Beliau juga mengulangi pendirian Umno Tanjung Piai mahu calonnya diletakkan bertanding setelah MCA gagal mendapat sokongan kaum Cina sendiri pada pilihan raya umum yang lalu.
“Ini yang buat orang Melayu marah. Yang menangkan MCA ialah pengundi Melayu. Kawasan majoriti Cina semua kalah.
“Dalam keadaan macam ini, apa keperluan untuk MCA tanding lagi?” soalnya.
Pada PRU14, Wee gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2008 dan 2013.
Beliau kalah kepada calon PH dari Bersatu, Dr Md Farid Md Rafiq dengan perbezaan 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru bersama calon PAS, Nordin Othman.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya, Dr Md Farid Mr Rafik meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian pada 16 November. – 30 Oktober, 2019.
Komen