DUA Adun DAP didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini kerana kegiatan keganasan berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
P Gunasekaran dan G Saminathan akan berdepan pertuduhan keganasan di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan. Turut didakwa adalah ahli perniagaan S Chandru.
Mereka adalah antara 10 orang yang didakwa hari ini antaranya di Selangor, Pulau Pinang dan Melaka kerana kegiatan keganasan berkaitan LTTE.
Di Mahkamah Selayang, A Kalaimughilan turut kelihatan di bawa ke mahkamah.
Peguamnya, V Yoges berkata dia didakwa berkaitan aktiviti keganasan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin kerana kes itu dibicarakan di bawah Sosma, yang akan dibicarakan di mahkamah tinggi.
Pengutip besi buruk itu berdepan dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan keganasan.
Kalaimughilan didakwa melakukan kesalahan itu di kereta dan rumahnya di Rawang pada 10 Oktober antara jam 9 pagi sehingga 12 tengahari.
Ketika prosiding, Yoges meminta anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin kerana pendakwaan gagal menyatakan peruntukan Sosma dalam kertas pendakwaan.
Beliau juga memberitahu mahkamah yang tertuduh berdepan masalah kesihatan termasuklah migrain dan sakit pinggang selepas terlibat dalam kemalangan pada hujung April lalu.
Bagaimanapun, Hakim Maziah menolak rayuan peguam untuk ikat jamin dan menetapkan 16 Disember untuk pendengaran kes.
Kalaimughilan ditahan bersama-sama enam yang lain termasuklah dua Adun DAP pada 10 Oktober lalu.
Dua hari kemudian, lima lagi suspek ditahan, menjadikan jumlah semua yang ditahan adalah 12 orang.
Kesemua mereka ditahan di bawah Sosma.
Mereka ditahan di Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Selasa lepas, lima suspek memfailkan habeas corpus untuk mencabar penahanan mereka di bawah Sosma. Kes itu akan didengar Khamis ini.
Lima suspek yang membuat permohonan itu ialah G Saminathan, P Gunasekaran, Chandru Suparmaniam, V Suresh Kumar dan Arivainthan Subramaniam.
Saminanthan adalah Adun Gadek, Melaka manakala Gunasekarang adalah Adun Seremban Jaya, Negeri Sembilan.
V Suresh pula adalah ahli majlis tempatan dan Chandru adalah CEO Green Technology Corporation.
Dalam permohonan itu, mereka menafikan terlibat dalam LTTE dan menolak dakwaan cuba menghidupkan semula kumpulan pengganas yang sudah bubar itu. – 29 Oktober, 2019.
Komen