SEMUA peneroka Felda akan menyaksikan beban hutang mereka turun sehingga 40% dalam penyata pendapatan format baharu pada November, menurut satu pertubuhan peneroka.
Sebahagian peneroka juga akan menerima semula bayaran pulangan dalam penyata baharu yang menunjukkan Felda berhutang kepada peserta terbabit, kata Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda (SGK2).
Pengerusinya Mohammad Stap Othman menjelaskan kepada The Malaysian Insight, ia hasil audit forensik kewangan yang dijalankan pada awal bulan ini bersama bahagian kewangan Felda.
“Pasukan forensik kewangan kita berjaya mengenal pasti isu bagaimana peneroka boleh dikenakan hutang yang tinggi, sehingga ada yang kata mereka berhutang sampai RM100,000 kepada Felda.”
Kesilapan besar Felda dalam menghitung bayaran itu diketahui apabila SGK2 dibenarkan menyemak akaun berkenaan bersama firma audit, katanya yang turut menganggotai pasukan itu.
“Pasukan forensik kita ada empat orang, kita minta supaya kami sebagai pemegang taruh dibenarkan sama-sama semak dengan syarikat audit Erns & Young.
“Felda sudah janji sebelum dimuktamadkan kita semak dulu,” kata Stap yang merupakan salah seorang anggota panel yang memuktamadkan penyata peneroka.
Warga peneroka sudah lama mengadu mengenai masalah kiraan hutang dan menuduh pengurusan Felda menyembunyikan butiran tersebut untuk mengaut bayaran yang tidak berkesudahan.
Melalui audit forensik itu mereka kini faham hutang tinggi itu antara lain disebabkan kesilapan besar Felda merekodkan tabungan dan levi peneroka sebagai perbelanjaan.

Tidak cukup dengan itu, peneroka juga dikenakan faedah 6.25% ke atas perbelanjaan tersebut, kata Stap.
“Penyata peneroka contohnya duit tabung dan levi, dimasukkan dalam perbelanjaan. Macam mana hutang peneroka tak tinggi,” katanya.
Sedangkan jumlah hutang sebenar ditanggung peneroka yang paling tinggi direkodkan hasil audit forensik itu hanyalah sekitar RM60,000, katanya.
“Daripada RM100,000 paling tinggi direkodkan, hutang sebenar peneroka hanya RM60,000. Besar kemungkinan ada Felda berhutang dengan peneroka. Itu Felda kena bayarlah,” katanya.
Amalan yang berlaku sejak 13 tahun lalu itulah yang menyebabkan pendapatan peneroka susut dan semakin banyak menanggung hutang, kata Stap.
Walhal, keseluruhan duit tabungan yang dikutip daripada lebih 112,000 peneroka daripada 317 tanah rancangan itu sepatutnya sudah berjumlah RM2 bilion, katanya.
Tegasnya, perkara itu amat tidak adil kerana Felda mengenakan faedah ke atas simpanan peneroka, yang sudah menanggung bayaran levi.
“Duit tabung simpanan berbilion ringgit, tapi duit itu tidak ada sebab Felda sangka itu duit belanja, sedangkan sebenarnya itu simpanan peneroka.
“Saya memang lantang. Saya kalau nak marah peduli apa, kami pemegang taruh. Kamu bekerja dengan kami, kami bayar levi RM12 seekar, kemudian kamu caj faedah,” katanya.
Beliau berkata pendedahan itu dibuat dalam mesyuarat bersama bahagian kewangan Felda pada 7 Ogos lalu.
“Felda baru sedar perkara itu, dalam mesyuarat saya dedah baru mereka sedar. Apabila kita tukar format, baru jumpa penyelesaian mengapa hutang peneroka tinggi.
“Simpanan kita dalam tabung ada kira-kira RM2 bilion, tapi duit itu sudah tiadalah. Cuma kita hendak angka itu.
“Tapi peneroka kena tuntut. Bila Felda hendak bayar tunggulah mereka ada duit,” katanya.
Rekod Felda mendakwa, baki hutang peneroka mencecah angka RM7.7 bilion pada 2018 yang merangkumi antara lain, kos penanaman semula, pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil.

Felda bagaimanapun menghadapi kesukaran untuk mengutip semula hutang itu akibat kelemahan proses pengurusan, kelewatan proses mengemas kini rekod dan akaun peneroka yang belum dikunci.
Susulan itu, kira-kira 20,000 peneroka bertindak mengambil alih kebun mereka dan menghantar hasil kepada peraih dan kilang persendirian bagi mengelak pemotongan hutang oleh Felda.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Kertas Putih Felda berkata ia antara sebab Felda gagal mengutip semula hutang daripada peneroka tersebut.
Sehubungan itu katanya, Putrajaya memperkenalkan skim pengurusan aset canggih (SPAC) bagi memberi bantuan yang lebih fleksibel menggantikan pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil.
Menurutnya, Putrajaya meluluskan sejumlah RM480 juta bagi 2019 untuk pembiayaan pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil kepada peneroka.
Bagi tujuan itu, Felda terpaksa menanggung kos kewangan yang besar melalui pinjaman dari institusi kewangan yang mengenakan kadar faedah di antara 4% hingga 6%, katanya.
Bagi mengurangkan bebanan ditanggung peneroka, kerajaan juga bersetuju menghapuskan kadar faedah di atas pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil itu, yang dianggarkan berjumlah RM2 bilion.
Pada Februari lalu, Felda mendedahkan agensi itu menanggung RM5.5 bilion hutang peneroka yang sudah dimuktamadkan, selain RM2 bilion lagi yang belum dimuktamadkan.
Selain itu, agensi itu juga dibelit pelbagai isu salah laku, rasuah dan pelaburan bermasalah melibatkan pemimpin peringkat tertinggi dan anak syarikatnya.
Usaha memperbaiki masalah kewangan Felda ini, termasuk memansuhkan hutang tidak wajar yang ditanggung peneroka ini merupakan antara janji utama Pakatan Harapan dalam kempen PRU14. – 29 Oktober, 2019.
Komen