Projek perintis nenas tergantung kerana Felda, kata pengerusi LPP


Mohd Farhan Darwis

Projek perintis tanaman nenas MD2 di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang kerana tergantung disebabkan Felda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Oktober, 2019.

PENGERUSI Lembaga Petubuhan Peladang (LPP) Mazlan Aliman mengesahkan projek perintis tanaman nenas MD2 di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang kerana tergantung disebabkan Felda. 

Mazlan berkata, projek itu seharusnya mula dilaksanakan tahun lepas sebaik sahaja kawasan ladang kelapa sawit terbabit melalui proses tanaman semula.

Namun, projek itu masih tidak dapat dilaksanakan meskipun kesemua agensi kerajaan terlibat sudah bersedia memandangkan masih belum ada kata putus daripada Felda berkaitan status tanah yang ingin digunakan, kata Mazlan.

“Memang belum mula lagi, projek itu kini di peringkat Felda. Persiapan di peringkat LPP, Lembaga Nenas sebagai penasihat kita tiada masalah. Isunya adalah tanah kerana ia merujuk kepada Felda. 

“Sekarang kena tanya Felda. Di peringkat Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani), Lembaga Nenas, dan LPP tiada masalah dah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, projek itu memerlukan keluasan 500 ekar tanah peneroka, dengan Lembaga Nenas akan membekalkan benih selain LPPK yang memberikan khidmat kepakaran.

“Selain nenas kita pun ada rancang tanaman lain yang boleh keluarkan hasil segera, di peringkat pelaksanaan tergantung kepada Felda. Benih semua dah ada, kita akan beri dengan harga subsidi. 

“Di pihak LPP kita beri kepakaran, selain nenas ada tanaman lain kita akan tanam. Kami dah sedia tapi tergantung kepada Felda, sekarang kata kunci kepada Felda. 

“Di peringkat kami selesai, sepatutnya tahun lepas kita laksanakan. Tapi kamu kena tanya sendiri dengan Feldalah, saya tak mahu komen,” katanya.

Projek perintis itu diumumkan tahun lepas pada 23 Disember ketika lawatan penasihat kerajaan Daim Zainuddin ke Felda Sungai Tengi.

Sejak itu, tiada sebarang perkembangan berlaku, dan peneroka masih tertanya-tanya status projek yang seharusnya membantu mereka mendapatkan pendapatan sampingan selepas kejatuhan harga komoditi kelapa sawit yang berterusan.

Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Kedua (SGK2) Felda Mohammad Stap Othman yang diberikan tanggungjawab menyelaras projek perintis itu berkata, pihaknya juga buntu dengan rancangan berkenaan.

Ini kerana, sekiranya projek perintis nenas MD2 itu berjalan, peneroka akan mampu menjana hampir RM60 juta pendapatan sampingan dengan RM20 juta modal awal, daripada peruntukan RM250 juta yang disediakan kerajaan.

Ketika pembentangan Kertas Putih Felda pada April lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 bilion diberikan selama empat tahun kepada Felda bagi mengurangkan kebergantungan peneroka kepada hasil sawit.

Dana itu katanya akan digunakan untuk meningkatkan aktiviti pertanian dan ternakan yang menggunakan teknologi pertanian pintar dan agrikultur yang tepat yang membolehkan peneroka menuai hasil tuaian dalam tempoh yang singkat. – 28 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen