Muda dan mahasiswa, hanya sementara


Izmil Amri

APABILA seorang graduan mengangkat plakad menuntut Naib Canselor (VC) Universiti Malaya meletakkan jawatan ekoran ucapannya di Kongres Maruah Melayu, ramai yang naik angin. Majoritinya kerana graduan itu seorang anak muda Tionghua.

Ketika berita itu sampai kepada saya; tiada lain yang saya dapat katakan kecuali bahawa muda dan mahasiswa itu hanya sementara. “Dah kerja nanti, dia tahu lah,” tulis saya di media sosial.

Muda dan melawan, perkara biasa. Tua dan melawan, itu luar biasa.

Ketika saya aktif dalam organisasi yang disebut ramai sebagai ‘jemaah kampus’, antara benda yang paling banyak diulang sebut ialah bagaimana ramai daripada kalangan kami akan meninggalkan ‘perjuangan’ akibat godaan kerjaya, harta, anak dan isteri.

Maka hari ini apabila saya melihat adik-adik mahasiswa begitu bersemangat memegang mikrofon dan berucap berapi-api, saya hanya ketawa dengan penuh rasa geli hati.

Lebih geli hati lagi apabila Jumaat minggu lalu, saya menerima khabar tentang bagaimana segerombolan anak-anak mahasiswa turun berdemonstrasi mempertahankan VC mereka di pintu pagar Bangsar Universiti Malaya.

Bagi saya VC Universiti Malaya Abdul Rahim Hashim itu bukannya kena tindas atau kena buang kerja, bahkan beliau masih bertugas seperti biasa. Yang menentukan beliau meletakkan jawatan atau terus bekerja adalah diri beliau sendiri.

Jadi apa tujuan berdemo solidariti dengan VC yang masih bekerja dengan aman bahagia ini, saya tidak mengerti. Selalunya orang berdemo untuk bersolidariti dengan mereka yang tertindas, atau dizalimi.

Namun apa yang jauh lebih kelakar daripada itu ialah bagaimana mereka berdemo di pintu pagar Bangsar. Pintu yang kami terpaksa rempuh lima tahun lalu.

Menggempur sepasang pagar besi

Khamis malam Jumaat, sebelum demo solidariti bersama sang VC itu, saya meredah hujan ke Universiti Malaya. Sambil mengenang bagaimana pada tahun 2014, saya dan beberapa teman merempuh pintu pagar Bangsar kampus ini untuk membawa masuk sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mengusung seorang Anwar Ibrahim. Saya ketawa melihat bagaimana pintu pagar itu terbuka luas malam itu.

Pada 27 Oktober 2014, dilaporkan sekurang-kurangnya 1,000 orang termasuk mahasiswa dan orang awam telah merempuh pagar yang dirantai aparat keselamatan kampus bagi menghalang program pidato Anwar “40 tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara” daripada berlangsung.

(Prof Madya) Dr Azmi Sharom, yang ketika itu pensyarah Fakulti Undang-undang, hadir ke muka pintu untuk menenangkan keadaan. Namun, apalah daya sepasang pagar besi untuk memenjara semangat anak muda mahasiswa.

Pagar bodoh itu kami rempuh, Anwar diarak sehingga ke perkarangan Dewan Tunku Canselor (DTC) dan menyampaikan pidatonya dalam keadaan gelap gelita. Juak-juak Aspirasi berkeliaran dengan t-shirt ‘Alif Ba Ta’, mengambil gambar dan nota seolah-olah mereka staf HEP.

Dipendekkan cerita, watak-watak yang bertanggungjawab membawa masuk Anwar pada malam itu, ada yang digantung semester, diberi amaran dan didenda.

Lima tahun kemudian, nama Fahmi Zainol, Adam Fistival Wilfrid, Safwan Shamsuddin, dan Khairol Najib (sekadar menyebut yang saya kenal) kini berada dalam kerajaan sebagai pegawai menteri, pembantu ahli Parlimen dan sebagainya.

Lima tahun kemudian, Anwar diusung masuk ke DTC oleh pentadbiran UM sendiri.

Cium tangan Anwar

Seakan sudah biasa dengan kampus ini, saya meletakkan kereta di depan DTC, dan melihat segerombolan mahasiswa berkumpul di hadapannya. Saya sangka inilah dia gerombolan anak mahasiswa yang akan mengadakan tunjuk perasaan membantah kehadiran Anwar.

Rupa-rupanya saya salah. Mereka hadir berbondong-bondong dari kolej kediaman masing-masing, mengimbas QR code di tiang-tiang dewan, dan masuk dengan aman tenteram, mengambil makanan yang sudah tersedia di kerusi. Siapa yang taja makan, penganjur pun tak pasti.

Saya rakam beberapa gambar dari luar dewan, dalam dewan, dan klip video pendek bagaimana anak-anak mahasiswa mengisi ruang dewan, mengelilingi pentas yang memaparkan wajah Anwar sebagai latarnya.

Ketika menunggu di luar, kelihatan VC pun tiba diiringi beberapa sosok pimpinan mahasiswa bersongkok yang cukup saya kenal wajahnya. Budak-budak GAMIS ini kelihatan gembira; iyalah, dapat mengekor VC menyambut Anwar.

Sewaktu Anwar dilengser dan disumbat masuk penjara pada 1998, anak-anak mahasiswa ini barangkali baru saja lahir. Mereka mungkin tidak tahu siapa Anwar, apa peranan Anwar dan sejarah gerakan Reformasi. Setidaknya itulah tujuan ‘roadshow’ Anwar ke kampus-kampus utama ini; seperti yang diajukan seorang rakan wartawan. Tapi tak apa, itu cerita lain.

Selesai melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana aparat yang sama menghalangnya masuk dahulu mengaraknya masuk ke DTC; saya pun angkat kaki pulang. Memang saya cuma hadir untuk melihat keajaiban.

“Sudah jadi kerajaan lah katakan,” ujar rakan penganjur yang seperti saya, turut ternanti-nanti kalau ada yang berani berdemonstrasi malam itu.

Ya, patutnya malam itulah kamu buat demo! Apa kejadah kamu sambut bakal perdana menteri dengan beratur nak cium tangan. Kata mahasiswa melawan, konon jurubicara rakyat. Demo lah! Bantah kemasukan bakal perdana menteri ‘Pakatan Hancing’ yang kamu bantah di Parlimen tempoh hari. 

Ternyata, muda dan mahasiswa hanya sementara. Bahkan ketika masih menuntut pun sudah menjadi aparat pentadbiran. Kasihan.  – 29 Oktober, 2019.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen