Putrajaya digesa siasat peranan jutawan Indonesia dalam masalah kewangan Felda


Peter Sondakh merupakan kawan rapat kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan mempunyai banyak aset di Malaysia. – Gambar Facebook, 28 Oktober, 2019.

PUTRJAYA perlu menyiasat aset atau kepentingan yang dimiliki hartawan Indonesia Peter Sondakh jika mahu menghentikan “pendarahan kewangan” dalam Felda, kata wartawan veteran A Kadir Jasin.

Dalam catatan blognya, Kadir mendakwa Sondakh, kawan rapat kepada bekas perdana menteri Najib Razak, memainkan peranan penting membantu ahli Parlimen Pekan merealisasikan perjanjian yang merosakkan Felda sebagai balasan untuk kepentingan politik.

“Maka dalam usaha mendapatkan balik duit Felda atau setidak-tidaknya mengurangkan kerugian serta memberhentikan pendarahan, aset serta kepentingan Sondakh di Malaysia wajib diambil kira.

“Dia ada banyak harta di Malaysia termasuk beberapa buah hotel mewah di Kuala Lumpur dan Langkawi yang dibeli atau dibina dengan pinjaman mudah daripada bank-bank tempatan, khususnya Bank Pembangunan, dan perkongsian dengan Khazanah Nasional Berhad,” kata penasihat media kepada perdana menteri itu.

Kadir menekankan bagaimana Felda pada 2016 membeli 37% kepentingan dalam Eagle High Plantations Tbk (EHP), sebuah syarikat dimiliki oleh Kumpulan Rajawali milik Sondakh, dengan harga 344.2% lebih tinggi berbanding harga saham di pasaran terbuka.

Dalam perjanjian Eagle High, proses “put option” dimasukkan dan Kumpulan Rajawali boleh dipaksa untuk membeli semula kepentingan dalam keadaan tertentu.

Putrajaya memulakan langkah untuk memaksa Rajawali membeli semula kepentingan tetapi syarikat enggan dan mendakwa pilihan itu tidak dilaksanakan dengan betul.

Kadir berkata perjanjian itu disenaraikan dalam Kertas Putih Felda termasuk banyak transaksi meragukan yang membawa kepada masalah kewangan membebankan.

Beliau menuduh beberapa pemimpin Barisan Nasional bertanggungjawab berhubung masalah Felda, yang digambarkannya sebagai “perogol Felda”.

“Perogol-perogol Felda, sama ada yang sudah dikenal pasti atau yang akan dikorek dari lubang cacing, wajib dikenakan tindakan sewajarnya. Ini adalah sabotaj ekonomi,” kata Kadir.

Beliau menegaskan walaupun masalah kewangan disebabkan oleh pentadbiran terdahulu, banyak peneroka Felda masih menyalahkan kerajaan semasa kerana masalah dihadapi sekarang.

“Kerajaan PH menyelamatkan Felda dengan memberi suntikan kewangan sebanyak RM6.3 bilion. Tanpa suntikan itu Felda sudah bankrap,” tambah Kadir. – 28 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen