Anies Baswedan, Jacindamania serta politik pribumi yang tidak terkalahkan


Izmil Amri

JACINDA Adern, 37, adalah Perdana Menteri New Zealand yang baru. Dua hari lalu ketika keputusan itu dicapai, Jacinda ditemui media ketika sedang mengecat pagar rumahnya.

Beliau bukan sahaja PM paling muda bagi negara Kiwi itu sejak 150 tahun lalu, malah merupakan ketua Parti Buruh New Zealand yang paling muda dalam sejarah. Tidak hairan bagaimana wanita ini menjadi katalis ‘Jacindamania’ yang memberi kemenangan 46 kerusi kepada partinya.

Pun begitu, apa yang menarik ialah pertabalan Jacinda sebagai PM New Zealand ini adalah lantaran keputusan parti New Zealand First untuk memihak Buruh bagi mencukupkan bilangan untuk membentuk kerajaan.

Parti ‘NZ First’ ini disebut sebagai ‘kingmaker’ politik negara yang menjadi latar filem Lord of the Rings itu. Ia hanya mempunyai sembilan kerusi, namun menjadi parti penentu untuk membolehkan gabungan kiri Buruh dan Greens membentuk kerajaan.

Lebih kurang macam yang mahu dibuat PAS, dalam politik Malaysia.

Dan kedua-duanya juga tidak banyak beza sebenarnya. NZ First, sesuai namanya adalah parti mengutamakan pribumi. NZ First adalah parti nasionalis dan konservatif. Maka penggabungan bersama parti-parti kiri bagi mendapatkan kuasa ini sebenarnya tidak jauh beza daripada langkah yang diambil PAS sepanjang sejarah politiknya.

NZ First atau namanya dalam bahasa Maori, ‘Aotearoa Tuatahi’, serta agenda populisnya yang mendahulukan masyarakat pribumi New Zealand menjadi faktor ayunan dalam politik negara itu. Ia telah dua kali menganggotai kerajaan pada 1996 dengan 17 kerusi, serta pada tahun 2005 dengan hanya berbekalkan tujuh kerusi.

2017 adalah kali ketiga ia akan masuk dalam barisan kerajaan dengan hanya 9 kerusi dan 7.20% undi popular.

Mampir ke Nusantara, faktor politik pribumi juga berjaya menggoncang politik Indonesia buat ke sekian kalinya.

Mantan operator politik presiden Jokowi yang baru angkat sumpah ke pejabat gabenor Jakarta, Anies Baswedan dalam pidatonya memetik kata ‘pribumi’ dan seterusnya menggelombang polemik serata ceruk negaranya.

“Dulu kita semua pribumi ditindas dan dikalahkan (dijajah). Kini telah merdeka, saatnya kita menjadi tuan rumah di negeri sendiri,” kata Anies.

Anies didokong dua parti politik, satunya Gerindra pimpinan mantan panglima Kostrad ketika berlangsung reformasi Indonesia 1998. Satu lagi adalah Partai Keadilan Sejahtera, sebuah parti Islam di Indonesia.

PKS adalah parti politik terbesar yang mendukung Aksi Bela Islam, membantah penistaan agama oleh mantan gabenor Jakarta; seorang tionghua bernama Basuki Tjahaja Purnama, atau lebih kita kenali sebagai Ahok.

Pidato Anies, sang kepala daerah yang didukung sebuah parti nasionalis pimpinan mantan tentera dan sebuah parti bertunjang agama, didakwa bersalahan dengan undang-undang negara jiran tersebut yang menghapuskan diskriminasi kaum dan keturunan.

Bukan sahaja itu. Terdapat arahan presiden pada tahun 1998 supaya dihentikan penggunaan istilah ‘pribumi’ dan ‘nonpribumi’ dalam semua urusan dasar dan kegiataan kerajaan Indonesia.

Istilah ini awalnya timbul ketika penjajahan Belanda pada 1854, tiada lain bertujuan untuk membeza-bezakan kelas masyarakat ketika itu, seperti juga yang dilakukan British di Malaya sepanjang tempoh penaklukannya, malah berlanjutan sehingga ke hari ini.

Bangsa Eropah diletakkan pada kasta paling tinggi, diikuti kasta Vreemde Oosterlingen (Timur Asing) yang dianggotai masyarakat Cina, Arab dan India. Yang paling rendah dalam struktur masyarakat jajahan Belanda itu disebut ‘Inlander’. Diterjemahkan ke Bahasa Indonesia menjadi ‘pribumi’.

Upaya membungkus lebih 300 suku bangsa Indonesia dengan label ‘pribumi’ dan mengasingkan para tionghua seperti Ahok ternyata membelakangkan ke’bhineka’an yang menjadi semboyan bangsa tersebut. Bukan sahaja itu, ia membayangkan bagaimana Indonesia turut mengikut arus politik pribumi yang sedang menggila di serata dunia.

Eropah baru sahaja menyaksikan seorang anak muda berusia 31 tahun, Sebastian Kurz diangkat menjadi canselor Austria. Kurz mahu menutup laluan imigran ke Eropah selain menghalang pelarian daripada mendapatkan bantuan sehinggalah mereka menetap selama lima tahun di Austria.

Jerman juga baru sahaja menyaksikan keanggotaan parti Alternative für Deutschland (AfD), yang menggondol kerusi ketiga terbanyak di Bundestag. AfD juga adalah parti kanan nasionalis-populis yang seperti Sebastian Kurz, turut anti-imigran.

Amerika pula ada Donald Trump. Kalau Trump itu ahli politik Malaysia, dia akan jadi presiden United Malays National Organisation, juga sebuah parti nasionalis yang mendahulukan pribumi.

Parti yang menggunakan kalimat ‘pribumi’ pula secara terang nyata pada namanya pula duduk dalam barisan pembangkang, bersama DAP si ‘parti Cina’ yang mahukan sebuah Malaysia untuk rakyat Malaysia. Alangkah menarik dan berserilatnya pollitik Malaysia.

Namun itu lah realitinya. Politik adalah pementasan. Pementasan yang paling dramatik akan popular, dan yang popular akan menang.

“Tapi bagaimana dengan idealisme?” tanya anda.

Semalam, 20 Oktober 2017 genap 70 tahun peristiwa mogok Hartal berlangsung. Mogok sepuluh tahun sebelum Merdeka itu mendesak supaya Perlembagaan Rakyat diangkat sebagai perlembagaan yang baru, ketimbang perlembagaan persekutuan yang memberi nyawa kepada Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Perlembagaan Rakyat antara lain menuntut supaya semua rakyat negara ini dikenali sebagai orang Melayu; selain menuntut hak mengundi dan pilihanraya bagi sebuah negara Malaya yang baru, terpisah daripada kewajiban menumpahkan taat setia kepada baginda Ratu England.

Ia dikemukakan Putera-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat-All-Malaya Council of Joint Action), parti politik berbilang kaum pertama dalam sejarah negara. Lawannya, tidak lain adalah UMNO.

Sepuluh tahun sebelum Merdeka, anak semua bangsa telah melawan politik perkauman dan diskriminasi keturunan. 60 tahun selepas Merdeka, kita masih terperangkap dalam permainan politik yang sama. Demikianlah ‘realpolitik’nya.

Pasukan idealis selalu kalah. – 21 Oktober, 2017.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen