-2.jpg)
PADA edisi Piala Dunia Ragbi (RWC) 2019 di Tokyo, semua peminat ragbi menantikan penampilan pasukan ragbi Jepun, yang turut dikenali sebagai The Brave Blossoms.
Siapa sangka “Sakura” kecil dan underdog ini cukup berbisa untuk menyakiti setiap pasukan besar dalam sukan ragbi. Jepun mencipta sejarah, menjadi pasukan pertama dari Asia layak ke suku akhir RWC.
Bagaimana Jepun boleh menunjukkan prestasi menakjubkan ini? Apakah faktor kejayaan Jepun membina pasukan ragbi yang digeruni dunia? Apa yang kita boleh ambil daripada kebangkitan pasukan Jepun ini?
Jika New Zealand mempunyai “haka”, pasukan ragbi Jepun pula mempunyai semangat “katsumoto”. Berdasarkan sejarah, Katsumoto ialah seorang pahlawan samurai Jepun yang terkenal dengan persediaan rapi ketika berhadapan dengan perang.
“Katsumoto” bermaksud kemenangan dalam bahasa Jepun. Berdasarkan jurulatih Jepun, Simon Jones, semangat kastsumoto ini membina sebuah mentaliti pemain untuk bermain dengan sempurna dan terbaik secara taktikal dan spiritual.
Kehadiran Eddie Johnson sebagai jurulatih pasukan Jepun pada 2012 mengubah pasukan Jepun. Eddie menamatkan kemarau kekalahan selama 24 tahun pasukan ragbi Jepun dengan menanam mentaliti seorang “juara”.
“Budaya orang Jepun sentiasa memberi fokus kepada perkara yang ‘sukar’ dilakukan. Eddie telah mengubah mentaliti pemain ini dengan memberi fokus kepada kekuatan pasukan Jepun,” kata bekas ketua pasukan Jepun, Toshiaki Hirose mengenai Eddie Johnson dalam satu temu bual bersama akhbar The Guardian.
“Beliau meyakinkan pemain Jepun mampu mengalahkan pasukan gergasi atas faktor disiplin yang tinggi, semangat bersama dan kuat berusaha.”
Tanpa semangat Katsumoto, tanpa perubahan mentaliti dalam budaya pasukan ragbi Jepun, tidak bermaksud pasukan Sakura tidak boleh bermain ragbi. Tetapi, mereka hanya bermain sebagai pasukan yang mungkin akan kalah dalam tempoh 30 tahun lagi. Mungkin teruk dibelasah.
Apa yang boleh kita belajar?
Saya membawa cerita pasukan ragbi Jepun ini bukan untuk mengulas panjang mengenai prestasi pasukan Jepun, tetapi semangat, idealisme dan aspek praktikal yang ditunjukkan pasukan ini yang boleh dijadikan aspirasi kepada negara sedang mengalami transisi seperti Malaysia untuk terus maju dan berjaya.
Justeru, apa yang kita boleh belajar daripada kejayaan pasukan ragbi Jepun?
Kita dapat lihat betapa penting indivisu bersifat terbuka menerima perubahan untuk berjaya. Keterbukaan pemain Jepun menerima perubahan ideologi dan tektikal Eddi Johnson pada 2012 menyebabkan pasukan ini dapat menamatkan badi rekod kekalahan teruk selama 24 tahun.
Keterbukaan kepada idea baharu juga amat penting bagi rakyat Malaysia untuk menerima perubahan yang baik. Cepat atau lambat bukan persoalan tunggal untuk mengukur perubahan sesebuah negara, tetapi sejauh mana kualiti perubahan ini dapat dirasai oleh rakyat dan negara itu untuk masa hasapan.
Selain itu, pasukan Jepun juga membuktikan kepelbagaian ialah tunjang kepada kekuatan sebuah pasukan.
Pemain Jepun terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada pemain neutralisasi dan berdarah campur. Ketua pasukan Jepun, Micheal Litch juga berasal dari New Zealand dan mendapat kerakyatan pada 2013.
Jelas menunjukkan pasukan ragbi Jepun mementingkan kemahiran pemain merupakan penyumbang utama kejayaan pasukan, bukan tanpa mengira warna kulit.
Jika kita melihat kepelbagaian latar belakang dan kepakaran rakyat Malaysia satu perkara penting, tentunya ia akan memberi manfaat kepada pembangunan negara.
Persoalannya, sejauh manakah kita benar-benar melihat kepelbagaian di negara ini satu kekuatan?
Dalam menempa kejayaan, pasukan Sakura ini mengajar kita, kejayaan bukan datang dengan sekelip mata. Jepun mengambil masa 24 tahun benar-benar berubah, mengambil masa tiga tahun untuk mengalahkan Afrika Selatan, mengambil masa hampir 30 tahun untuk memasuki suku akhir RWC.
Pasukan Jepun sedar mereka tidak boleh terus berubah menjadi juara. Setiap kejayaan ini mempunyai tangga yang perlu didaki mengikut usaha dan kemampuan.
Malah, misi utama pasukan Sakura dalam RWC 2019 tercapai apabila mereka layak ke peringkat suku akhir dan menjadi juara kumpulan buat pertama kalinya. Ini satu pendekatan realistik untuk melihat perubahan.
Begitu juga dengan perubahan dalam Malaysia baharu, kita hendaklah bersikap rasional bahawa perubahan itu tidak boleh datang dalam tempoh yang singkat dan mudah.
Sedangkan untuk melihat pertukaran kerajaan mengambil masa 60 tahun, apakah rasionalnya untuk merasai perubahan dalam satu tempoh yang singkat?
Mampukah kita?
Jika pasukan ragbi Jepun boleh mengubah mentaliti lapuk kepada Juara, bekerja keras dan bersatu padu untuk menamatkan badi kekalahan selama 24 tahun, maka apakah kita juga mampu melakukan perkara yang sama untuk terus maju dan berjaya?
Adakah kita benar bersungguh-sungguh menamatkan zaman perit Malaysia selama 61 tahun dahulu untuk mencipta kejayaan 61 tahun untuk masa hadapan?
Kita belum bersedia untuk melakukan sedemikian kerana masih terperangkap dengan “romantisme” lama yang kita fikir baik dan selesa.
Ramai antara kita lebih berbangga dan meratap sejarah lama, tanpa melakukan sesuatu yang terbaik buat masa sekarang agar kesilapan yang dilakukan dahulu tidak berulang.
Akhirnya, kejayaan Malaysia bergantung kepada kebijaksanaan rakyat dan pemimpin untuk bertindak. Rakyat mempunyai peluang untuk bersatu padu memajukan Malaysia atau memilih untuk membina tembok pemisah, memainkan isu pecah belah rakyat yang boleh mengganggu kemakmuran Malaysia. – 28 Oktober, 2019.
* Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca The Malaysian Insight
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen