JAMES Masing memberi amaran kepada golongan pelampau di Semenanjung Malaysia agar tidak memanjangkan isu kontrak sosial ke Sarawak.
Timbalan ketua menteri itu memberitahu kepada The Malaysian Insight bahawa kontrak sosial tidak ada kena mengena dengan negeri itu.
“Kontrak sosial tidak ada kena mengena dengan kita.”
Beliau merujuk itu isu yang dibangkitkan pada Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Kuala Lumpur pada awal bulan ini.
Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai bagi mengukuhkan kedudukan Melayu sebagai balasan memberikan kerakyatan kepada pendatang Cina dan India selepas mendapat kemerdekaan daripada British pada 1957.
“Kita adalah rakyat Sarawak. Kita bukan orang Melayu,” katanya merujuk kepada masa kontrak itu dibuat.
Masing berkata sejak kontrak itu merujuk kepada “Tanah Melayu” sebelum pembentukan Malaysia, ia tidak terpakai kepada Sarawak yang bersetuju membentuk kerajaan persekutuan dengan Tanah Melayu, Singapura dan Borneo Utara (Sabah) bagi membentuk Malaysia pada 1963.
Singapura bagaimanapun keluar Malaysia pada 1965.
Masing mengulangi pandangan ramai pakar akademik dan sejarah yang menjelaskan kontrak itu tidak pernah ditulis dan perjanjian itu tidak dimeterai secara sah.
Beliau menyifatkan kontrak itu sebagai “persefahaman antara rakan”.
Tambahnya, kontrak itu mempunyai tempoh had masa.
“Apabila Malaysia dibentuk, kontrak sosial tidak memberi kesan kepada entiti baharu dan kami (Sabah dan Sarawak) kerana ia merupakan perjanjian antara penduduk di Tanah Melayu.
“Ia langsung tidak ada kena mengena dengan kita. Apa yang dicapai sebelum ini adalah sejarah dan tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia.
“Jadi, jangan cuba bawanya ke sini,” kata beliau. – 28 Oktober, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen