Mansuh atau kaji semula Sosma, kata Waytha


Timothy Achariam

Waytha Moorthy berkata, suspek yang ditahan di bawah Sosma atas dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE perlu didakwa di mahkamah, bukannya ditahan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Oktober, 2019.

AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) perlu dikaji semula atau dimansuhkan seperti yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan, kata P. Waytha Moorthy.

Menteri Perpaduan itu berkata kesemua 12 suspek yang ditahan di bawah Sosma atas dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) perlu didakwa di mahkamah, bukannya ditahan.

“Sosma mencabul hak asasi manusia. Terdapat peruntukan dalam Sosma yang melanggar hak asasi manusia,” katanya pada satu majlis rumah terbuka Deepavali di Seremban hari ini.

“Manisfesto Pakatan Harapan menyatakan bahawa Sosma perlu dimansuhkan atau dikaji semula. Kita perlu lihat sama ada menteri dalam negeri akan bertindak (memansuhkan) Sosma,” katanya.

Awal minggu ini, tiga isteri tahanan kes LTTE mengadakan mogok lapar di luar Bukit Aman bagi mendesak suami mereka dibebaskan sebelum Deepavali.

Namun mereka menamatkan protes itu petang semalam selepas menyedari polis tidak akan membebaskan suami mereka dalam tempoh terdekat.

Pada 10 Oktober, polis antikeganasan menahan tujuh lelaki kerana disyaki mempromosi, menyokong, menyalurkan dana dan memiliki bahan berkaitan LTTE.

Dua daripada mereka – G. Saminathan dan P. Gunasekaran – merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka dan Negeri Sembilan.

Ketujuh-tujuh mereka ditahan di Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Dua hari kemudian, lima lagi lelaki ditahan atas dakwaan yang sama di Pulau Pinang, Melaka dan Selangor.

Awal minggu ini, lima daripada mereka mengemukakan usul habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar penahanan mereka.

Mahkamah menetapkan 31 Oktober ini sebagai tarikh pendengaran kes itu.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen