Pasar Borong Rakyat bantu pengusaha kecil pecah monopoli orang tengah


Zaim Ibrahim

Pasar borong di Pendang yang sudah siap 99% dan dijangka dibuka akhir November. – Gambar The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2019.

SEORANG usahawan berhasrat pasar borong yang ditubuhkannya di Pendang, Kedah dapat membantu warga tani dan pengusaha kecil menembusi pasaran tanpa melalui orang tengah.

Pengendali Pasar Borong Rakyat, Senafi Awang Chat berkata beliau akan dapat pastikan barangan di pasar berkenaan kekal pada harga berpatutan dengan memecahkan monopoli orang tengah itu.

Dengan cara itu, premis yang akan beroperasi pada November itu akan dapat membantu golongan penternak, petani serta pengeluar Bumiputera dari kampung sekitar daerah berkenaan, katanya.

“Untuk barangan mentah seperti daging, sayur, ikan dan ayam, saya tidak akan menggunakan orang tengah.

“Saya akan beli secara terus daripada pengeluar sama ada daripada pekebun, nelayan, dan penternak ayam dan daging lembu.

“Dengan cara ini, saya mampu jual dengan harga yang murah. Keuntungan yang saya akan ambil dalam lebih kurang 30% daripada modal barangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau menjelaskan, tanpa orang tengah itu harga bagi pelbagai jenis ikan, ayam dan daging tempatan dapat turun sekurang-kurangnya RM1 di pasar itu.

Ia juga membolehkan sayur-sayuran tertentu dijual dengan harga kurang 50% daripada harga di pasar lain, katanya.

“Sayur seperti sawi, bayam, dan kangkung, akan dijual setengah harga daripada pasaran. Bermakna kalau sawi RM5 sekilo, kita jual RM2.50 sekilo.

“Ikan pun kita jual murah daripada orang, daripada harga pasaran kurang RM1,” tambahnya.

Sayur-sayuran seperti tomato dan timun juga akan dapat dijual dengan harga kurang RM1 sekilo daripada harga pasaran, katanya.

Masalah monopoli orang tengah dalam industri kecil itu dikenalpasti oleh penasihat kerajaan, Daim Zainuddin sebagai halangan terbesar bagi nelayan dan petani untuk mendapatkan hasil lebih tinggi.

Pengendali Pasar Borong Rakyat, Senafi Awang Chat berkata pihaknya cuba memastikan barangan dijual kekal pada harga berpatutan. – Gambar The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2019.

Menurut Daim, nelayan sebagai contohnya tidak menikmati keuntungan sebenar daripada hasil keringat mereka kerana orang tengah yang mengambil kesempatan dengan mengawal harga ikan.

Mengulas lanjut, Senafi berkata ia secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi tempatan dan membantu produk keluaran Bumiputera dan Muslim.

“Saya nampak kaum lain seperti kaum Cina sangat maju dalam perniagaan tetapi kita masih ketinggalan.

“Bermula daripada situ, timbul idea untuk dirikan satu kedai runcit sendiri dengan matlamat untuk bantu pengeluar produk IKS dan penduduk kampung.

“Selain bantu ekonomi tempatan, saya dapat bantu orang ramai untuk beli barangan dengan harga yang murah,” jelas beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Su.

Senafi, 64, berkata pasar borong ini dibuka bagi mengembangkan perniagaan runcit dinamakan Pasar Lambak yang dimulakannya dua tahun lalu di Pendang.

Mengimbas kembali perjalanannya sebagai peniaga, beliau berkata ia dimulakan secara kecil-kecilan dengan menjual buah-buahan dan sayur-sayuran di pasar malam.

Kini, pasar borongnya hampir siap dibina dengan kos lebih RM300,000, tanpa melibatkan pinjaman dan mendapat suntikan modal daripada mana-mana pihak, katanya.

“Saya telah menjual beberapa barangan peribadi seperti van dan motosikal untuk dapatkan modal memulakan perniagaan,” kata beliau.

Selain barangan basah, pasar borong yang sudah 99% siap itu juga akan memasarkan bahan masakan seperti pes, rempah ratus, dan juga makanan ringan keluaran pengusaha setempat.

Beliau melihat sambutan ke atas pasar itu amat menggalakkan kerana pelbagai syarikat IKS dan individu menemuinya untuk berniaga sejak Pasar Borong Rakyat mula dibina.

“Setiap hari akan ada orang yang tawarkan produk mereka untuk dijual. Saya beri ruang kepada mereka untuk menjual, sebab saya amalkan pasaran terbuka.

“Produk-produk yang sudah terkenal pun saya akan ambil supaya wujud persaingan yang baik,” jelasnya.

Ia dibina di atas sebidang tanah milik Koperasi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah seluas 8,000 kaki persegi, yang dilengkapi kemudahan parkir kenderaan.

Tambahnya, pembukaan pasar borong itu juga kebetulan dengan kempen mengutamakan kempen mengutamakan barangan Bumiputera dan Islam (BMF) yang digerakkan pada masa ini.

Dengan itu, beliau akan menggiatkan lagi usaha memasarkan produk keluaran Muslim dan Bumiputera di pasar borong tersebut.

Walaupun belum beroperasi, beberapa syarikat dan produk keluaran kampung sudah bersedia menjual produk mereka di Pasar Borong Rakyat. – Gambar The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2019.

“Apabila saya mahu buka satu cawangan yang lebih besar, waktu itu pula ada kempen BMF. Jadi bila ada aura BMF, saya lebih bersemangat.

“Sebelum ada kempen BMF lagi, di kedai runcit lama telah jalankan konsep utamakan produk Islam tetapi kini, pasar borong akan jual lebih banyak,” tambahnya.

Tambahnya, langkah itu tidak bersifat rasis kerana hanya membantu pengusaha industri kecil yang majoritinya daripada kelompok Bumiputera.

Namun beliau juga mengalu-alukan pelanggan bukan Bumiputera dan akan turut menempatkan produk keluaran bukan Bumiputera seperti alat kelengkapan rumah dan sabun mandian.

“Barangan lain daripada produk bukan Bumiputera yang bukan berasaskan makanan akan dijual. Cumanya, bagi produk berasaskan makanan saya akan utamakan produk Islam kerana sudah tentu ia halal dan suci.

“Kita tetap alu-alukan pelanggan daripada bukan Islam,” ujar beliau.

Kempen BMF itu mula digerakkan secara aktif awal bulan lepas oleh NGO, Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

Jelas Ummah, kempen tersebut tidak mensasarkan kepada tindakan memboikot barangan bukan Bumiputera tetapi sekadar mengalakkan pembelian produk orang Islam.

Negeri seperti Perak bagaimanapun mengeluarkan arahan tegas melarang kempen berkenaan dijalankan di masjid. – 28 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen