Isu peralihan kuasa bukan keutamaan Majlis Presiden, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mahu isu peralihan kuasa itu menjejaskan tumpuan kerajaan untuk menjaga kesejahteraan rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Oktober, 2019.

MESYUARAT Majlis Presiden PH sepatutnya menumpukan kepada hal ekonomi dan bukannya ke atas isu peralihan kuasa, kata Presiden PK Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau tidak mahu isu peralihan kuasa itu menjejaskan tumpuan kerajaan untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

“Kalau Majlis Presiden PH hendak bincang boleh, tetapi sementara itu kita perlu fokus tentang ekonomi dan biar (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad mengemudi pentadbiran negara dengan berkesan.

“Kita perlu terus bergerak ke hadapan. Fokus kepada isu ekonomi.

“Apabila ada cubaan untuk menjejaskan proses (peralihan kuasa), pembangkang seharusnya tidak menganggu kita, sebaliknya harus fokus pada masalah ekonomi,” kata Anwar.

Beliau mengulas saranan pemimpin PH agar isu peralihan kuasa itu dibincangkan secara muafakat dalam Majlis Presiden PH.

Dr Mahathir juga sudahpun menyatakan persetujuan agar isu peralihan kuasa itu diteliti dalam majlis tersebut.

Mesyuarat Majlis Presiden adalah majlis tertinggi dalam proses membuat keputusan antara  gabungan PH.

Anwar juga menegaskan sekali lagi bahawa muafakat sudahpun dicapai agar beliau mengambil alih jawatan perdana menteri.

“Ada keperluan dibincangkan, memandangkan sebelum ini sudah ada konsensus. Apa yang Dr Mahathir maksudkan adalah mengenai tempoh masa.

“Namun beliau tidak pernah pertikaikan isu penggantinya,” kata Anwar.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga semalam berkata persoalan melibatkan tempoh peralihan kuasa itu sepatutnya diteliti bersama oleh pemimpin PH dan juga oleh Dr Mahathir. – 27 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen