SUKU abad selepas penyanyi kumpulan Nirvana, Kurt Cobain meninggal dunia akibat membunuh diri, kardigan yang dipakainya semasa persembahan “Unplugged” pada 1993 dijual dengan harga RM1.4 juta (AS$334,000).
Kardigan berwarna hijau zaitun berjenama Manhattan, yang tidak pernah dicuci sejak kali terakhir Cobain memakainya, mempunyai bekas kotoran gelap dan berlubang akibat terbakar.
Penjualnya Garrett Kletjian, pemilik Forty7 Motorsports, membelinya empat tahun lalu dengan harga AS$137,500.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden, Julien’s Auctions, Darren Julien berkata kardigan itu adalah simbolik kepada imej Cobain.
“Kurt mencipta rupa grunge, beliau tidak memakai pakaian untuk persembahan,” kata Julien kepada AFP semasa pameran di New York.
Pelelong itu meramalkan ia mampu mencecah harga antara AS$200,000 hingga AS$300,000.
Persembahan “Unplugged” Cobain bersama Nirvana - dirakam kurang enam bulan sebelum beliau membunuh diri pada usia 27 tahun - dianggap sebagai salah satu pertunjukan paling ikonik dalam siri unplugged.
Gitar milik Cobain, Fender Mustang gitar yang digunakan semasa siri jelajah “In Utero” dijual dengan harga AS$340,000. – AFP, 27 Oktober, 2019.
Komen