Anwar tempelak ahli akademik bisu isu rasuah


Mohd Farhan Darwis

Anwar berkata demikian mengulas kenyataan penganalisis dasar awam Lim Teck Ghee yang menyifatkan Malaysia di bawah pentadbiran PH sebagai bencana tidak terkawal. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Oktober, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim menempelak sikap segelintir ahli akademik yang mengeluarkan kenyataan mengkritik pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Anwar berkata, ahli akademik sedemikian dilihat hanya membisu ketika rasuah berleluasa dalam pentadbiran kerajaan.

“Itu (kenyataan) ahli akademik yang pada ketika rasuah berpuluh bilion, membisu. Jadi, nak dengar dia boleh. Tetapi, bila rasuah banyak, orang curi bertong-tong, dia diam dan sekarang nak kata keadaan tak terkawal.

“Sepatutnya bicara apa yang patut kita lakukan. Mengapa boleh kita diam bila rompakan besar berlaku,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia di Bangi, hari ini.

“Dan sekarang kita nak bicara sebagai jurucakap masyarakat  Melayu. Saya tidak setuju,” katanya.

Anwar berkata demikian mengulas kenyataan penganalisis dasar awam Lim Teck Ghee yang menyifatkan Malaysia di bawah pentadbiran PH sebagai bencana tidak terkawal.

Sementara itu, ahli Parlimen Port Dickson itu turut melihat tindakan beberapa pemimpin Umno dan PAS menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sehingga tamat penggal adalah mainan biasa pembangkang. 

Sokongan yang disuarakan pembangkang disifatkan Anwar sebagai tidak relevan memandangkan pemilihan pimpinan adalah bidang kuasa Mesyuarat Majlis Pimpinan PH.

“Itu tidak mengapa (pembangkang sokong Dr Mahathir), pembangkang biasalah, hendak timbulkan masalah. Dahulu semasa BN pembangkang tidak pula disuruh pilih calon perdana menteri.

“Ia bukan soal pembangkang. Saya ingat, isu itu juga sudah dijawab (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin, (Presiden Amanah) Mohamad Sabu dan (Penasihat DAP) Lim Kit Siang dan juga PKR.

“Parti berkuasa sekarang ini yang menentukan siapakah pimpinan. Sekarang kita sokong Dr Mahathir,” kata Anwar, lagi.

Enam ahli Parlimen Umno, Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir mentadbir hingga habis penggal

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut memberi jaminan kesemua 16 ahli parlimen parti Islam iti turut memberi sokongan kepada Pengerusi Bersatu itu. – 26 Oktober, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen