PAS tidak seharusnya mendesak kerajaan mengharamkan mana-mana parti politik yang tidak sealiran dengannya, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Katanya, seruan PAS seperti itu menunjukkan parti tersebut masih terperangkap dalam fahaman politik lama yang hanya tahu mengharamkan sesuatu.
Pada masa sama ia juga akan memberi ancaman kepada PAS sekiranya kerajaan didesak menggunakan kuasa untuk mengharamkan parti.
“Saya fikir PAS masih bawa pemikiran lama, suruh haram… Itu politik lama. Sekarang kalau mula ajar kerajaan ada kuasa haramkan parti itu bahaya, bahaya untuk PAS juga,” kata Anwar.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Harakiy ke-6 di Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia di Bangi hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa DAP diharamkan kerana didakwa menjadi ancaman terhadap keselamatan negara.
Tuan Ibrahim berkata ancaman itu kerana DAP dilihat terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LLTE) dan mempromosikan komunisme.
Gesaan sama disuarakannya pada 2012 sewaktu Tuan Ibrahim merupakan ketua penerangan PAS.
Beliau pada masa itu menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berkaitan hukum menyokong DAP yang menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.
Desakan untuk mengeluarkan fatwa itu dibuat sewaktu timbul perbalahan timbul mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Isu berkenaan merupakan antara perkara yang meretakkan hubungan PAS dan DAP dan seterusnya meruntuhkan kerjasama parti berkenaan dalam Pakatan Rakyat bersama PKR. – 26 Oktober, 2019.
Komen