PKR bincang tapi belum terima Salleh, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

PKR masih lagi mendapatkan pandangan pimpinan parti di peringkat cabang dan negeri Sabah mengenai penyertaan bekas menteri Umno itu, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Oktober, 2019.

PKR belum lagi membuat keputusan ke atas permohonan Salleh Said Keruak untuk menyertai parti itu, kata presidennya Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, PKR masih lagi mendapatkan pandangan pimpinan parti di peringkat cabang dan negeri Sabah mengenai penyertaan bekas menteri Umno itu.

“Belum dibawa (untuk kelulusan). (PKR) bincang tapi kita selalu tanya cabang, negeri, ada yang setuju, ada juga yang bagi pandangan tetapi kita dengar semua,” kata Anwar kepada pemberita.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama merasmikan Ijtimak Harakiy kali keenam Seminar Bangsa Malaysia di Bangi, hari ini.

Kenyataan itu muncul sewaktu timbul cakap-cakap bahawa penyertaan Salleh akan diumumkan Anwar semasa konvensyen PKR Sabah di Kota Kinabalu pada Isnin.

PKR Sabah semalam sudahpun mengalu-alukan penyertaan bekas ketua menteri Sabah tersebut ke dalam parti.

Pengerusi PKR Sabah Christina Liew dalam satu laporan menyebut, Salleh diterima masuk ke dalam parti itu jika sanggup mengenepikan prinsip Umno.

“Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu menyertai parti selagi mereka ikhlas dan tulen dalam berjuang untuk keadilan, kesaksamaan dan pembaharuan, yang membentuk prinsip reformasi,” katanya dalam satu laporan.

Salleh yang yang menjadi menteri penerangan dalam kabinet Najib Razak merupakan penyokong kuat bekas perdana menteri itu terutama dalam menjelaskan tuduhan mengenai skandal 1MDB.

Beliau yang gagal mempertahankan kerusi Kota Belud dalam PRU14 meninggalkan parti bersama sekumpulan besar pemimpin Umno Sabah dan memohon untuk menyertai PKR pada Ogos.

Salleh dalam kenyataan berkata, beliau membuat permohonan menyertai parti itu menggunakan saluran atas talian.

Menurutnya, beliau memilih PKR kerana parti ini mengamalkan politik berbilang kaum yang sesuai dengan pegangan dan pendirian politiknya dan suasana politik di Sabah. – 26 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen