Anwar dekati anak muda generasi pasca Reformasi 98


Mohd Farhan Darwis

Anwar Ibrahim tampil gah berpidato di hadapan pelajar Universiti Malaya malam kelmarin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Oktober, 2019.

DEWAN Tunku Canselor, Universiti Malaya senyap sepi ketika Anwar Ibrahim memulakan syarahannya malam kelmarin di hadapan pelajar, yang sebahagian besarnya langsung tidak mengenali sosok beliau semasa memulakan gerakan Reformasi dua dekad lalu.

Bagi sebahagian besar mereka yang berumur awal 20-an, itulah pengalaman pertama mendengar presiden PKR itu berpidato. Itulah juga pengalaman pertama mereka mengenali Anwar, ikon politik bagi anak muda pada hujung 1990-an.

Syarahan ahli Parlimen Parlimen Port Dickson bertajuk “Kemiskinan, Martabat Insan & Masa Depan Belia” itu adalah peluang mereka menilai secara langsung sosok yang dinamakan oleh Pakatan Harapan sebagai bakal perdana menteri Malaysia kelapan.

Muhammad Nabil Najmuddin Azman, 21, berkata, beliau hanya mengenali Anwar daripada laporan media mengenai perjalanan politiknya, terutamanya mengenai kedudukan sebagai calon perdana menteri.

“Saya mengenali Anwar dalam.dunia politik berkenaan isu dan kes yang dihadapinya dan pilihan raya yang ditandinginya, dan sekarang sama ada berkemungkinan beliau akan naik sebagai perdana menteri atau tidak.

“Beliau berkaliber tapi perlukan bimbingan setiap pihak atas pendapat peribadinya. Kita hidup dalam masyarakat majmuk, masing-masing ada pandangan sendiri.

“Bagi saya Anwar Ibrahim nampak sedikit ke arah liberal, kita sepatutnya meraikan pelbagai pandangan sebagai masyarakat majmuk,” kata pelajar tahun kedua Akademi Pengajian Islam, kepada The Malaysian Insight.

Aisyah Adaha, 21, pelajar tahun ketiga dari Fakulti Pendidikan pula berkata, selepas mendengar syarahan Anwar, beliau percaya Anwar seharusnya diberi peluang untuk melaksanakan ideanya untuk Malaysia.

“Saya tidak berapa kenal, beliau bukan pemimpin zaman saya, saya hanya tahu beliau seorang pemimpin. Rasa dengar daripada berita, saya tak banyak dengar banyak sumbangan beliau kerana media banyak buat liputan pasal kontroversi. 

“Daripada pendapat beliau banyak yang beliau boleh lakukan untuk Malaysia, bagaimana beliau melihat isu kemiskinan dan perkauman, baik jika beliau boleh laksanakan,” katanya.

Bagi ramai pelajar universiti sekarang, sosok Anwar Ibrahim adalah pemimpin lama yang kurang dikenali kerana kehebatan berpidatonya dan peluang berprogram di universiti adalah peluang untuk mereka mendekatinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Oktober, 2019.

Sementara itu, Mohd Iqbal Hakim Rashdi, 18, pelajar di Pusat Asasi Sains UM berkata, Anwar hebat dalam berpidato sehingga kata-katanya mampu membuatkan sesiapa sahaja tertarik.

“Teknik penyampaian sangat menarik dan faktanya amat bernas dan diselitkan contoh menarik.

“Jawapannya kepada soalan yang diberikan logik dan amat kreatif, ada sesetengahnya tidak terfikirkan oleh kami.

“Beliau seorang yang hebat dan amat hebat berkata-kata. Kata-katanya amat bagus dan menarik sehingga boleh tarik orang mengundi dia,” katanya.

Low Shu Yit, 19, pelajar Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal juga memuji kecekapan Anwar dalam menyampaikan syarahan walaupun mengaku sukar memahami beberapa istilah yang Anwar guna.

“Mungkin bagi kami tidak berapa faham perkataan yang digunakan namun Anwar mempunyai kredibiliti dalam ucapannya kerana beliau ahli Parlimen.

“Saya hanya mengenali Anwar sejak isu skandalnya, ketika itu kami di sekolah rendah, dan tidak mengetahui banyak kecuali skandalnya,” katanya.

Program Temu Anwar di Universiti Malaya malam kelmarin adalah siri jelajah beliau ke universiti bertemu mahasiswa, yang sebelum ini berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Selangor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan beberapa buah institusi lagi.

Anwar Ibrahim memulakan Program Temu Anwar di Universiti Malaya, ia akan menjelajah beberapa universiti lain lagi di seluruh negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Oktober, 2019.

Penganalisis politik dari Fakulti Ekonomi UM, Mohammad Tawfik Yaakub melihat Anwar menghampiri golongan muda untuk menabur benih sokongan dalam kalangan kelompok berkenaan yang masih mencari hala tuju berpolitik.

“Apabila umur mengundi di turunkan kepada 18 tahun, kesempatan ini beliau gunakan sepenuhnya untuk menabur benih- benih sokongan kepada beliau khususnya kepada mahasiswa yang masih mencari idola, hala tuju politik dan arah sokongan yang nak diberikan.

“Inilah ruang yang paling berharga kepada Anwar kerana sekiranya berlaku pilihan raya umum ke-15, satu kelompok baru penyokong beliau muncul memperkukuh kemenangan dan kedudukan sedia ada. Khususnya untuk beliau,” kata Mohammad Tawfik.

Tambahnya, golongan mahasiswa ini tidak merasai perit jerih dan kesukaran era reformasi sekaligus tiada apa yang menguntungkan mereka untuk menyokong Anwar.

“Namun atas kemampuan dan kehebatan pidato Anwar, kelebihan ini merupakan  satu manipulasi untuk menarik sokong mahasiswa ini.

“Anwar kini hanya bergantung kepada kelebihan cara pidato yang memukau untuk menarik sokongan mahasiswa,” katanya lagi.

Mohammad Tawfik juga melihat jelajah universiti yang dilakukan Anwar ini mampu mengembalikan sokongan anak muda dalam PH dan PKR kini berhadapan defisit sokongan anak muda atas tindakan perlahan kerajaan melaksanakan manifesto yang memihak kepada kelompok itu.

“Maka bagi saya jelajah universiti inilah usaha berterusan untuk mengembalikan sokongan anak muda khususnya mahasiswa yang masih mencari cari hala tuju politik,” katanya, lagi. – 26 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen