Dr Mahathir... M untuk Malaysia


The Malaysian Insight

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu sedar yang Pakatan Harapan dipilih rakyat kerana jelik dengan retorik perkauman kerajaan lama, bukan untuk mencipta retorik perkauman Melayu baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2019.

DR MAHATHIR Mohamad tidak jujur – atau buat-buat tidak tahu, apabila sekali lagi mempertahankan kehadirannya di Kongres Maruah Melayu.

Perdana menteri berkata beliau berhak untuk hadir kerana beliau seorang Melayu. Itu tidak dipertikaikan.

Beliau juga berhujah adalah lazim untuk orang berpegang pada identiti kaumnya dan berhimpun serta berbincang tentang bahasa, identiti dan sebagainya. Itu juga tidak dipertikaikan.

Dr Mahathir hairan kenapa Kongres Maruah Melayu dicap sebagai “perkauman”.

Di sinilah hujahnya mempertahankan diri hadir di kongres itu jadi rapuh dan ternampak tidak jujur.

Sesetengah rakyat Malaysia dan mereka yang memenangkan beliau dan partinya dalam pilihan raya tidak mahu beliau hadir ke kongres itu kerana mereka syak ia akan jadi pesta retorik kaum terhadap musuh yang dibuat-buat iaitu orang bukan Melayu.

Mereka syak penganjurnya tidak begitu berminat untuk menarik perhatian kepada usaha mengangkat kedudukan sosio ekonomi Melayu.

Sebaliknya, ia akan jadi tidak ubah sama seperti yang pernah mereka lihat di Perhimpunan Agung Umno dari tahun ke tahun – pidato yang memecah belah yang disamarkan sebagai memperjuangkan hak Melayu.

Adakah sesiapa ingat apa yang diputuskan di Kongres Maruah Melayu selain daripada ucapan mengapi-apikan oleh Zainal Kling dan resolusi menuntut jawatan tertentu dalam kerajaan dikhususkan untuk Melayu.

Tema besar perhimpunan itu ialah ketuanan Melayu di negara ini diancam oleh kaum Cina dan India.

Kalau kehadiran perdana menteri tidak cukup meresahkan, sikap diam dirinya terhadap sampah sarap yang dilontarkan kepada orang bukan Melayu malah lebih mengejutkan.

Adakah beliau juga berpandangan sama bahawa hak Melayu sedang terancam?

Adakah beliau menyokong ucapan Zainal Kling dan nada ucapannya itu?

Tidakkah beliau rasa janggal berkongsi pentas dengan ahli politik yang mahu menghancurkan Pakatan Harapan (PH)?

Apakah tidak terlintas dalam fikirannya bahawa mereka yang sepentas dengannya selama ini bertanggungjawab menjarah dan merosakkan bangsa sendiri, malah Malaysia?

Ada banyak lagi soalan untuk Dr Mahathir jawab namun beliau mahu meraih simpati.

Kehadirannya di kongres itu memberi nyawa kepada tindakan sesetengah ahli politik membangkitkan isu perkauman dan seterusnya membuatkan mereka berani untuk meneruskan agenda pecah belah itu.

Kehadirannya di kongres itu malah barangkali menyebabkan sesetengah ahli politik percaya bahawa inilah masanya untuk menyerang DAP, sebuah parti komponen dalam kerajaan PH.

Kehadirannya di kongres itu membayangkan bahawa beliau sudah tidak lagi percaya pada kongsi kuasa dalam PH.

Alangkah menyedihkan.

Rakyat Malaysia mengundi untuk Dr Mahathir dan PH kerana mahu beliau memimpin negara ini ke arah kesatuan dan kemakmuran.

Sebaliknya, kita terhumban ke jurang kebencian.

Kita mahukan M untuk Malaysia. – 25 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen