FILEM ini mungkin tidak mendapat perhatian sepertimana “Iron Man” atau “Captain America”, bagaimanapun francais filem Thor ini kelihatan seperti bakal memenuhkan lagi rekod buat Marvel di awal pembukaan filemnya minggu ini.
Disokong oleh pelbagai ulasan awal yang positif, “Thor: Ragnarok” – filem ketiga dalam francais mengenai kisah intergalaktik Dewa Petir itu – dijangka memberi pulangan sehingga RM380 atau RM420 juta dari Jumaat hingga Ahad ini.
Seandainya filem itu mencapai anggaran angka itu, semestinya studio milik Disney itu akan merayakan ‘hat-trick’ pertama mereka tahun ini selepas kejayaan filem “Guardians of the Galaxy: Vol. 2” dan “Spider-Man: Homecoming.”
Pengarahnya Taika Waititi yang terkenal dengan kelucuannya sudah tentu akan meningkat namanya untuk filem ini, setelah francais Thor terdahulu iaitu “Thor: The Dark World” yang tidak menarik pengkritik, apatah lagi box office.
“‘Thor: Ragnarok’ ialah filem yang lucu keluaran Marvel Studio setakat ini. Semestinya filem Thor terbaik,” tulis Peter Sciretta, pemilik laman web SlashFilm di Twitter, sebaik tamat pratonton filem itu.
Sementara itu, Kevin Polowy penulis di Yahoo Entertainment menggambarkan filem itu sebagai “lucu dan pelik dan luar biasa dan retro dan menakjubkan” sebelum menambah: “Suka bagaimana Marvel membenarkan Taika Waititi menghasilkan filem yang sangat berunsur ‘ke-Waititi-an.”
Filem-filem bersiri keluaran Marvel Cinematic Universe (MCU) setakat initelah mengaut RM53.25 bilion seluruh dunia sejak 2008.
Thor: Ragnarok, filem ke-17 MCU ini dimulakan dengan watak utama, Thor dipenjara di alam lain, kali ini tanpa tukul hikmatnya yang terkenal itu.
Thor yang juga Putera Asgard itu mendapati dirinya dalam kesuntukan masa untuk kembali ke dunia asalnya dan menghentikan “Ragnarok” yang bermaksud “tamatnya tamadun Asgard” yang sedang diancam oleh Hela. – AFP, 20 Oktober, 2017.
Komen