MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menetapkan 15 November depan untuk keputusan rayuan Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan bekas kerani bank Johari Mohamad terhadap sabitan dan hukuman mereka mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), tahun lalu.
Hakim Mohd Yazid Mustafa turut mengarahkan semua pihak termasuk Rafizi dan Johari supaya menyerahkan transkrip hujahan prosiding hari ini kepada mahkamah dalam tempoh 10 hari.
“Mahkamah akan meneliti semula hujahan ini sebelum membuat keputusan,” katanya.
Terdahulu, peguam yang mewakili Rafizi, Ahmad Nizam Hamid berkata, ada keterangan daripada saksi pendakwaan iaitu Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), Dr Mohamad Salleh Ismail serta dua lagi wartawan sebelum ini tidak boleh diterima kerana tidak mengemukakan dokumen asal.
“Keterangan yang diberikan mereka sebelum ini yang dirujuk sebagai eksibit P4, adalah dengan menggunakan dokumen yang difotostat dan ini tidak boleh terima.
“Mereka mempunyai masa yang cukup untuk mendapatkan dokumen asal tetapi tidak memanfaatkannya dan kami beranggapan pihak pendakwaan gagal sepenuhnya untuk melengkapkan bukti, ” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman berkata, bahawa peruntukan undang-undang sedia ada tidak memerlukan pihak pendakwaan bagi mencari dokumen asal.
“P4 ini dokumen unik sebab diperoleh dari saksi pendakwaan yang mana mengakui menerimanya dari lokasi kejadian,” kata Tengku Amir Zaki.
Prosiding hari ini turut dihadiri Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.
Permohonan rayuan itu sebelum ini difailkan Rafizi dan Johari bagi sabitan dan hukuman 30 bulan penjara ke atas mereka kerana didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan di bawah Bafia tujuh tahun lalu.
Pada 7 Februari 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam mendapati, Rafizi, 42, bersalah kerana mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita akhbar The Star, Erle Martin Carvalho.
Rafizi melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA.
Turut disabitkan kesalahan, Johari, 48, yang didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Bafia, kerana bersubahat dengan Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama. – Bernama, 24 Oktober, 2019.
Komen