BUKU komik kontroversi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) diharamkan atas sebab kukuh dan bukan kerana sentimen sesetengah pihak, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Kementerian juga akan menjalankan operasi rampasan sekiranya bahan tersebut masih berada dalam edaran selepas pewartaan pengharaman tersebut.
“Kita wartakan dan susulan lepas itu tindakan wajar dibuat kalau masih dalam edaran tindakan biasa adalah rampasan.
“Keputusan kita dah buat dah teliti ada asas kukuh, bukan sentimen dan memihak mana pihak tapi berdasarkan kandungan.
“Selagi diedarkan di negara hantar di sekolah ia jadi perkara serius. Jadi saya kena ambil tindakan selepas itu,” katanya kepada wakil media di lobi Parlimen.
KDN semalam mewartakan pengharaman ke atas ketiga-tiga edisi penerbitan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin kerana didapati mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.
Kementerian Pendidikan pada minggu lalu mengeluarkan larangan ke atas pengedaran komik tersebut ke sekolah.
Keputusan berkenaan dikecam oleh 43 pemimpin akar umbi DAP termasuk wakil rakyat parti itu yang berpendapat Menteri Pendidikan Maszlee Malik bersikap seperti menteri Umno.
Pemimpin berkenaan juga mendakwa Maszlee mengikut telunjuk Najib Razak dalam isu berkenaan.
Dalam satu halaman buku itu menunjukkan bekas perdana menteri Najib Razak mentertawakan Dr Mahathir Mohamad dengan dialog “Orang tua itu sedang memalukan (diri) sendiri”.
Turut ditampilkan adalah karikatur isteri Najib, Rosmah Mansor. Watak itu ditonjolkan bersama karikatur seekor kucing yang membuat komen tentang barangan kemas Rosmah.
Selain itu, komik berkenaan juga menampilkan karikatur ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang dikehendaki kerana peranannya dalam skandal 1MDB.
Komik berkenaan memaparkan ilustrasi mengaitkan orang Islam dengan kumpulan pengganas.
Komik itu diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan dan Komik Asia di Pulau Pinang, hasil kerjasama kuratornya Hew Kuan Yau dengan pelukis tempatan Chong Po Ling.
Kedua-duanya disiasat polis mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Hew minggu lalu mendedahkan buku berkenaan mendapat kelulusan kementerian pendidikan untuk diedarkan ke sekolah-sekolah.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menulis kata pengantar buku berkenaan dan turut hadir ke majlis pelancarannya.
Semasa lawatan ke China pada April lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan komik tersebut kepada Presiden Xi Jinping semasa pertemuan dua hala Malaysia-China.
Pejabat Perdana Menteri bagaimanapun minggu lalu menafikan terlibat dalam penerbitan komik berkenaan dan menjelaskan ia bukan hadiah rasmi kepada Xi. – 24 Oktober, 2019.
Komen