PEJABAT syarikat pakaian dalam mewah milik Low Taek Jho, sebuah rumah emper dan pangsapuri di London akan dijual sebagai sebahagian tuntutan melucutkan hak difailkan pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) terhadap hartanah itu pada 2017, lapor Bloomberg.
Jabatan Kehakiman AS (DoJ) berkata hartanah itu diperoleh menerusi wang curi daripada syarikat pelaburan 1MDB.
Laporan itu berkata Low membeli pejabat syarikat pakaian dalam Myla pada harga £42 juta pada 2014 manakala rumah emper dan pangsapuri berhampiran dibeli pada 2010 di kawasan mewah Mayfair.
Menurut dokumen mahkamah yang difailkan semalam, hasil jualan itu untuk menggantikan aset susulan tindakan litigasi masih diteruskan.
DoJ mengemukakan 30 saman pelucuthakan terhadap hartanah, pelaburan, karya seni dan barangan kemas bernilai AS$1.7 bilion yang dibeli oleh Low dan rakan-rakannya.
Low dan Jabatan Kehakiman awal tahun ini bersetuju untuk menjual sebahagian hartanahnya di New York dan Los Angeles dalam satu jualan interlokutor di mana wang itu menggantikan hartanah sebagai matlamat dalam tuntutan sita berkenaan. – 24 Oktober, 2019.
Komen