Mustahil LTTE hendak dihidupkan di Malaysia, kata pakar keselamatan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Seramai 12 suspek yang dipercayai terlibat dengan perjuangan LTTE termasuk ahli politik ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. – Gambar PDRM, 24 Oktober, 2019.

FAHAMAN dan ideologi Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mustahil dihidupkan semula di Malaysia kerana tidak kena dengan konteks masyarakat di negara ini, kata pakar keselamatan.

Pensyarah Kanan Sains Forensik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Geshina Ayu Mat Saat, berkata kumpulan militan LTTE yang dibubarkan lebih sedekad itu mempunyai matlamat yang tidak boleh dihidupkan semula dalam konteks tempatan.

“Dengan melihat kepada tujuan asal LTTE di Sri Lanka, saya tidak melihat bagaimana ia akan dihidupkan semula kerana konteks tempatan di Malaysia berbeza.

“Apa yang boleh berlaku ialah menggunakan ideologi dan modus operandi kumpulan yang dibubarkan ini untuk membentuk ideologi ganas di Malaysia,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Geshina, LTTE yang diasaskan dan diketuai oleh Velupillai Prabhakaran disenaraikan sebagai kumpulan pengganas sejak 1980-an.

“Matlamat asalnya ialah untuk mendapatkan pembebasan Tamil Eelam sebagai respons kepada dasar-dasar kerajaan Sri Lanka kepada masyarakat Tamil khususnya yang berpunca daripada pergolakan politik yang berterusan antara kumpulan Buddha Sinhalese yang majoriti dengan kumpulan minoriti Tamil di Sri Lanka.

“Peristiwa-peristiwa sejarah menyediakan beberapa bukti tentang diskriminasi identiti budaya, penindasan, dan pertempuran agama, dan seterusnya merebak ke bahagian lain di dunia.

“Kedua-dua pihak mempunyai kepentingan atau penyokong simpatisan walaupun LTTE sendiri telah dibubarkan secara rasmi pada tahun 2009 selepas pertempuran dengan tentera,” katanya.

Sementara itu, pakar analisis anti keganasan di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) Dr Ahmad El-Muhammady yakin tindakan polis dalam membanteras kumpulan tempatan yang menyokong LTTE semestinya berdasarkan bukti kukuh.

“Saya percaya polis membuat kerja berdasarkan bukti bukannya tanggapan terutamanya ketika membabitkan isu keselamatan.

“Sebelum ini, polis sudah menahan ramai yang simpati kepada perjuangan Daesh kerana bimbang pada ancaman keselamatan.

“Saya juga kurang bersetuju dengan pandangan bahawa tangkapan ke atas mereka yang menyokong LTTE bertujuan untuk menimbulkan fobia Hindu. Pandangan itu berbahaya dan boleh menimbulkan ketidakharmonian di kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan terperinci berkaitan kumpulan LTTE di negara ini mula dijalankan sejak November tahun lalu dan pihaknya mempunyai asas kukuh untuk membuka kertas siasatan terhadap 12 rakyat tempatan termasuk dua wakil rakyat.

LTTE diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India. Malaysia berbuat demikian pada 2014.

Kumpulan itu didakwa bertanggungjawab membunuh bekas perdana menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991 – tuduhan yang mereka nafikan. Mereka juga didakwa membunuh presiden Sri Lanka, Ranasinghe Premadasa pada 1993.

Menurut Ayub, pihaknya menerima maklumat ada cubaan menghidupkan semula LTTE selepas dua individu ditahan di Eropah dikesan mengumpulkan dana untuk kumpulan itu.

Polis mengambil tindakan awal supaya dapat mengelak Malaysia menjadi pusat mengaktifkan kembali LTTE kerana ia akan menjejaskan imej negara.

Setakat ini, 12 suspek yang dipercayai terlibat dengan perjuangan LTTE termasuk ahli politik ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. – 24 Oktober, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen