Duterte gesa pemimpin Indonesia, Malaysia ambil tindakan drastik hapuskan lanun


Presiden Filipina Rodrigo Duterte berkata beliau akan meminta pemimpin Indonesia dan Malaysia supaya “meletupkan” lanun di perairan rantau ini dan akan memberi penekanan keselamatan untuk mengatasi masalah itu. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2017.

PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte berkata beliau akan meminta pemimpin Indonesia dan Malaysia supaya “meletupkan” lanun di perairan rantau ini dan akan memberi penekanan keselamatan untuk mengatasi masalah itu.

Abu Sayyaf, jaringan penculikan meminta wang tebusan yang bersekutu dengan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) sudah menculik puluhan kelasi nelayan dan kapal kargo, menimbulkan amaran yang rantau ini boleh menjadi “Somalia seterusnya”.

Kenyataan Duterte itu dikeluarkan dua hari selepas beliau mengisytiharkan bandar Marawi di selatan Filipina “bebas daripada pengaruh pengganas” selepas pertempuran memerangi militan termasuk Abu Sayyaf berlanjutan sehingga lima bulan.

“Letupkan mereka daripada laut untuk pastikan laluan kapal kita terbuka dan selamat. Mereka dah banyak kali melanin, cukup duit tebusan yang dikutip,” kata Duterte pada sebuah forum untuk diplomat dan pemimpin Asia Tenggara di Manila.

“Saya baru habis perang (di Marawi) kemudian mungkin saya boleh beri kembali tumpuan kepada pasukan tentera selesaikan masalah ini terus.”

Militan yang menyokong IS menakluk sebahagian Marawi, bandar majoriti penduduk Islam dalam negara majoriti Katolik itu pada 23 Mei lepas dalam cubaan mereka mewujudkan “pemerintahan khalifah” di Asia Tenggara.

Konflik bersenjata dalam bandar itu adalah krisis terlama berlaku di Filipina menyebabkan lebih 1,000 orang terkorban dan lebih 400,000 lagi hilang tempat tinggal.

Walaupun mengisytiharkan pertempuran Marawi sudah reda, Duterte pada Khamis berkata militan Islam terus memberi ancaman kepada laluan bekalan dan perkapalan Asia Tenggara.

Beliau menyifatkan Selat Melaka, laluan perkapalan tersibuk dunia antara Semenanjung Malaysia dan Kepulauan Sumatra Indonesia kini sedang bergelut dengan ancam “keganasan”.

“Sesuatu perlu dilakukan, tindakan drastik untuk situasi yang sangat merbahaya ini,” kata Duterte.

Ancaman militan Islam akan menjadi agenda mesyuarat pemimpin dan sekutu Asia Tenggara bulan depan serta sidang kemuncak menteri pertahanan rantau ini minggu depan.

Filipina, Malaysia dan Indonesia sudah melancarkan kawalan udara dan laut bersepadu untuk menangani ancaman keselamatan di rantau ini. – AFP, 19 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen