Jika Dr Mahathir gagal, DAP pun gagal juga


PEMUDA Bersatu Selangor maklum satu artikel oleh Ronnie Liu bertajuk “Mahathir: The Paper Tiger”. Kami berpendapat pandangan Ronnie bersifat peribadi, terpencil dan datang dari pemahamannya yang dangkal berkenaan kebertanggungjawaban bersama dalam pentadbiran. 

Ronnie harus sedar bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh Pakatan Harapan adalah hasil daripada konsensus bersama empat parti gabungan di bawah Majlis Presiden PH.

Hal sama juga benar bagi keputusan-keputusan peringkat Kabinet. Malah, kesemua pemimpin parti komponen dalam Majlis Presiden dan juga Kabinet mengakui bahawa Dr Mahathir Mohamad sentiasa mendengar pandangan semua pihak dan melaksanakan keputusan berdasarkan suara majoriti. 

Justeru, jika benar kritikan Ronnie berkenaan isu-isu yang dibangkitkan maka ia hendaklah turut dianggap kritikan atau kegagalan kepimpinan DAP. 

Adakah ini yang cuba diangin-anginkan oleh Ronnie? 

Bersatu parti orang Melayu

Kita boleh berbalas menghujahkan parti mana lebih hebat atau siapa lebih banyak kerusi. 

Sebagai contoh, Ronnie memperlekeh sejumlah 13 kerusi dimenangi Bersatu pada PRU pertamanya sedangkan pada pilihan raya pertama DAP pada 1969, mereka juga “hanya” memenangi 13 kerusi parlimen. Bezanya DAP tidak berjaya membentuk kerajaan dengan jumlah tersebut jauh sekali mengangkat pemimpinnya menjadi perdana menteri. 

Bersatu merupakan parti orang Melayu. Ditubuhkan sebagai platform baharu politik orang Melayu, progresif namun kekal dengan nilai-nilai warisan dan adat orang Melayu. Dr Mahathir merupakan pengerusinya. 

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kami bagi mengangkat suara dan kehendak orang Melayu sebagaimana Ronnie dan DAP mengangkat suara orang Cina dan India.

Adakah apabila Cina dan India meminta haknya dan menyuarakan ketidakpuashatiannya baru dianggap “kebebasan bersuara” tapi apabila orang Melayu meminta perkara sama ia dikira “rasis”? 

Adakah Bersatu tidak boleh suarakan hasrat orang Melayu, jika itu kehendak mereka, tanpa dituduh berperangai sama seperti Umno? 

Musuh dalam selimut

Apa yang mengecewakan Pemuda Bersatu Selangor lagi adalah situasi hipotetikal yang dilontarkan beliau “jika Tun Mahathir memecahkan Harapan akibat tindakannya” serta kenyataannya yang seolah-olah mahu memperlekehkan peranan Bersatu sebagai rakan komponen yang penting.

Kata-kata Ronnie akan dilihat sebagai cubaan memprovokasi parti Bersatu dan mengisytiharkan perang ke atas ahli-ahlinya. 

Pemuda Bersatu Selangor mendapati bahawa pendapat Ronnie dan lain-lain sealiran dengannya seperti yang dikeluarkan oleh Syed Hussin dan Otai Reformis sebelum ini (yang mendesak Dr Mahathir meletakan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim) adalah cubaan menimbulkan kekacauan. 

Tindakan ini dilakukan walaupun kedua-dua Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail telah meminta supaya desakan ini dihentikan segera dan Dr Mahathir diberi ruang secukupnya untuk mentadbir. 

Jika selepas kenyataan Anwar dan Wan Azizah pun Ronnie dan rakan-rakannya masih engkar, maka beliau hendaklah diberi kata dua oleh kepimpinan tertinggi PH kerana cuba memecahbelahkan antara parti-parti komponen, menimbulkan persengketaan dalam kalangan ahli-ahli, serta menghasut menukar pentadbiran yang diwujudkan secara sah. 

Keruping luka

PH dalam trajektori kehadapan, ia sedang memulihkan negara berbekalkan tinggalan legasi BN yang porak-peranda. Ronnie bukan sahaja tidak membantu dalam hal tersebut, beliau lebih berminat menjadi agen kekacauan membantu pula pembangkang mengisi modal politik mereka. 

Ronnie adalah seperti keruping yang degil pada luka yang hampir sembuh. Sel-sel mati yang sudah melewati fungsinya dan hendaklah dikopek bagi memberi laluan sel-sel yang dijana semula untuk memulakan tugas dan mengembalikan badan ke potensinya yang sebenar. 

Tidak akan ada sesiapa merindui keruping. Dikopek, dikuis.– 23 Oktober, 2019.

*Adhif Syan Abdullah adalah Adun Dengkil merangkap ketua Pemuda Bersatu Selangor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen