Najib tak buat laporan polis kerana kes telah disiasat, kata peguam


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak tidak membuat laporan polis berhubung RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun banknya kerana siasatan kes SRC International sudah dijalankan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Oktober, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak tidak membuat laporan polis pada pertengahan 2015 berhubung RM42 juta yang dikreditkan ke dalam akaun bank peribadinya kerana siasatan ke atas SRC International sudah dijalankan, kata peguamnya.

Peguam bela Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa satu artikel mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diterbitkan oleh Sarawak Report pada 6 Julai 2015 telah mendorong siasatan bersama oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara.

“Agensi sudah menyiasat perkara itu, jadi dia (Najib) serahkan kepada mereka.

“Kenapa perlu laporan polis?,” katanya.

Semalam pihak pendakwaraya berhujah bahawa jika Najib tidak bersalah, beliau perlu membuat laporan polis apabila mendapati RM42 juta dalam akaun bank peribadinya.

“Sekiranya anda adalah perdana menteri sesebuah negara dan jika ada orang masukkan RM42 juta dalam akaun anda, saya fikir sesiapa pun pasti akan membuat laporan polis untuk menyiasat perkara berkenaan.

“Tetapi perkara itu tak berlaku,” kata pendakwa raya V Sithambaram semalam.  

SRC International yang ditubuhkan pada 7 Januari 2011 merupakan anak syarikat 1MDB sebelum pemilikan dipindahkan tahun berikutnya kepada Menteri Kewangan (MoF) Inc yang diketuai oleh Najib.

Di antara 24 Disember 2014 dan 6 Februari 2014 sejumlah RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun AmBank melalui anak syarikat SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan rakan kongsi tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Najib, 66, berdepan tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram ke atas dan SRC International berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalah di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Beliau berdepan hukuman 20 tahun penjara jika disabitkan kesalahan. – 23 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen