Zainal Kling dipanggil Bukit Aman, Jumaat ini


Alfian Z.M. Tahir

Prof Emeritus Zainal Kling dipanggil beri keterangan di Bukit Aman, Jumaat ini berhubung ucapannya pada Kongres Maruah Melayu dua minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2019.

PROFESOR Emeritus Zainal Kling dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat ini untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung ucapannya di Kongres Maruah Melayu dua minggu lalu.

Ketua eksekutif sekretariat Kongres Maruah Melayu itu disiasat berhubung laporan polis yang dibuat oleh aktivis sebuah badan masyarakat Penang Society for Tamil Advancement, Yoganathan Loganathan di Pulau Pinang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata Zainal dipanggil ke Bukit Aman 10 pagi, Jumaat ini.

“Ya, pukul 10 pagi. Kita akan ambil keterangannya,” kata Mior ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Minggu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata pihaknya menerima laporan terhadap Zainal yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan ketegangan kaum.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, katanya.

Pada Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu, Zainal menyampaikan ucapan pembukaan yang menyentuh antara lain soal Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Beliau berkata orang bukan Melayu mencabar kontrak sosial yang membolehkan pendatang sebelum Merdeka mendapat kerakyatan, atas budi baik orang Melayu. – 23 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen