GESAAN Mohamed Azmin Ali untuk Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal pentadbirannya adalah pandangan peribadi, kata Anwar Ibrahim dan menambah keputusan itu hanya boleh dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Presiden PKR itu juga berkata, kenyataan Azmin berhubung “kerajaan pintu belakang” juga adalah pandangan peribadinya.
“Ia adalah kenyataan peribadi. Saya sudah semak dan memutuskan bahawa di bawah sistem demokrasi berparlimen, parti yang memerintah akan buat keputusan. Ini bermakna, saya akan serahkan kepada majlis Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi dan timbalan presiden PKR berkata, Dr Mahathir perlu kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal pentadbirannya, dan pihak yang menuduh beliau bersekongkol dengan pihak tertentu untuk mewujudkan sebuah kerajaan baharu adalah dalang yang sebenarnya mahu menubuhkan kerajaan ikut jalan pintu belakang.
Apabila ditanya sama ada Azmin pernah bangkitkan perkara itu minggu lalu, Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson hanya menjawab: “tidak”.
Azmin dinamakan sebagai antara yang berkomplot dengan bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein untuk tubuhkan kerajaan baharu tanpa Amanah dan DAP.
Semalam beliau berkata, konsensus dalam PH adalah untuk Anwar mengambil alih pentadbiran daripada Dr Mahathir, namun tiada garis masa.
“Apa yang diputuskan oleh PH hanya dalam semangat, persefahaman tanpa sebarang tempoh masa.
“Saya mencabar mana-mana individu untuk memberitahu orang ramai bahawa perjanjian itu adalah untuk peralihan jangka pendek. Tidak ada.
“Kenapa perkara ini dibangkitkan?” – 23 Oktober, 2019.
Komen