Kumpulan pro Reformasi selar Azmin halang Anwar jadi PM


Kenyataan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin didakwa melanggar persefahaman dan perjanjian Pakatan Harapan bagi melaksanakan peralihan kuasa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2019.

SEBUAH kumpulan penyokong Reformasi 1998 menyelar Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin yang mereka dakwa cuba menggagalkan pelan peralihan kuasa perdana menteri.

Penasihat Pro98 Perak Zulkifly Ibrahim berkata kenyataan Azmin yang mahu Dr Mahathir Mohamad kekal perdana menteri sehingga habis penggal pada 2023 membayangkan jelas ada komplot untuk menghalang Anwar Ibrahim jadi perdana menteri kelapan.

“Jawapan Azmin sekali gus membuktikan kenyataan awal Pakatan Harapan dan PKR sebelum ini bahawa memang wujud komplot untuk menghalang peralihan kuasa dan seterusnya menghancurkan kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pro98 Perak melihat kenyataan terbaru Azmin untuk melanggari persefahaman dan perjanjian PH bagi melaksanakan peralihan kuasa secara jelas membuktikan beliau merupakan dalang komplot yang selama ini membuat politik Malaysia tidak stabil,” tambahnya.

Zulkifly turut menggesa Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, letak jawatan dalam parti dan kerajaan kerana kenyataannya merosakkan reputasi PH.

Katanya, Azmin bukan saja tidak hormat kepada presiden partinya sendiri tetapi sebagai menteri beliau gagal menyelesaikan keadaan ekonomi negara.

“Beliau banyak berpolitik kotor daripada membantu rakyat terbanyak,” katanya.

Semalam, Azmin berkata Dr Mahathir perlu kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal pentadbirannya, iaitu pada 2023, sesuai dengan mandat rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, mereka yang menuduh beliau bersekekongkol dengan pihak tertentu untuk mewujudkan sebuah kerajaan baharu adalah sebenarnya dalang yang mahu menubuhkan kerajaan ikut jalan pintu belakang.

“Jadi kalau ada pihak yang nak mengubah pentadbiran dan kerajaan lebih awal daripada itu, dua tahun atau satu tahun, itulah sebenarnya kerajaan pintu belakang

“Sepatutnya biarlah Dr Mahathir kekal sebagai perdana menterI hingga selesai tempoh penggal ini kerana itu mandat diberikan rakyat,” katanya.

Azmin sejak kebelakangan ini ketara berseberangan pandangan dengan Anwar dalam beberapa isu, termasuk dalam soal peralihan kuasa perdana menteri.

Anwar baru-baru ini berkata beliau membayangkan akan menggantikan Dr Mahathir menjelang Mei tahun depan, dua tahun Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

Azmin adalah antara beberapa nama yang disebut-sebut terlibat dalam gerakan bersama bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein untuk membentuk sebuah kerajaan tanpa Amanah dan DAP. – 23 Oktober, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen