.jpg)
PADA sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Dewan sekali lagi meluluskan Rang Undang-undang untuk memansuhkan Akta Anti-Berita Tidak Benar setelah ia ditolak oleh Dewan Negara tahun lepas.
Saya menyambut baik pemansuhan Akta Anti-Berita Tidak Benar, yang sebelum ini dikritik hebat oleh masyarakat madani (civil society) dan juga pembangkang sebelum kerajaan bertukar pada Mei 2018.
Ini kerana, Akta tersebut adalah undang-undang yang sebenarnya bertujuan untuk mengekang kritikan berasas terhadap kerajaan Barisan Nasional pada ketika itu.
Namun demikian, masyarakat tidak boleh memandang enteng pada ancaman “berita palsu” atau lebih tepat lagi, kepalsuan atas talian (online falsehoods) yang kini menjadi semakin serius.
Apatah lagi apabila kepalsuan atas talian ini direka dan disebarkan oleh sesetengah pihak untuk kepentingan peribadi atau politik mereka. Contohnya, pada 11 Oktober, 2019, pemimpin Umno, Dr Fathul Bari Mat Jaya menciap selepas ucapan Belanjawan 2020 mempersoalkan peruntukan yang kononnya lebih sedikit untuk usahawan Melayu berbanding usahawan kaum lain.
Beliau memuat naik imej palsu berkenaan dengan peruntukan tersebut. Walhal sebenarnya peruntukan untuk usahawan Melayu adalah jauh lebih banyak, dan ia boleh disahkan dengan mudah dengan membuat carian atas talian.
Sebelum ini juga, disebarkan kononnya terdapat kempen mengibarkan bendera dengan salah atau terbalik oleh kaum tertentu dengan menggunakan gambar dan video insiden yang tidak disengajakan atau gambar lama yang ditularkan semula.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang juga sering menjadi mangsa kepalsuan atas talian. Sebelum ini, Lim difitnah kononnya beliau agen asing, lahir di negara China, akan menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang dan pelbagai kepalsuan lagi.
Baru-baru ini, kami mendapat tahu ada beberapa akaun Twitter yang menggunakan imej Lim tanpa kebenarannya dan bertujuan untuk menyebarkan kepalsuan. Kami akan terus memantau dan mendedahkan percubaan seperti ini.
Atas kesedaran ini, saya menggesa semua pihak, termasuklah kerajaan, individu dan korporat, untuk bersama-sama berganding bahu menentang ancaman kepalsuan atas talian ini. Sebagai individu, kita harus saling ingat-mengingati untuk menyemak fakta sebelum menularkan sesuatu isu. Sektor swasta pula boleh mempromosikan penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab.
Usaha melawan kepalsuan atas talian ini hanya akan berjaya sekiranya semua pihak menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memastikan kepalsuan ini tidak menyebabkan perpecahan masyarakat dan mengganggu gugat keharmonian negara. – 23 Oktober, 2019.
* Syahredzan Johan ialah setiausaha politik ahli Parlimen Iskandar Puteri.
Komen