Bagaimana komik BRI lepas untuk hadiah Xi Jinping?


SUSULAN penjelasan Pejabat Perdana Menteri bahawa komik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) Meraih Manfaat Bersama telah dibawa masuk ke tempat persidangan pemimpin-pemimpin Malaysia-China tanpa melalui prosedur dan saluran yang sepatutnya, timbul persoalan apakah peranan sebenar Anthony Loke dan Tan Kok Wai dalam kekalutan diplomatik kali ini?

Kenapakah Hew Kuan Yau secara khusus mengucapkan terima kasih kepada mereka berdua dalam hantaran Facebooknya bertarikh 25 April 2019 mengulas tentang Perdana Menteri Dr Mahathir menyampaikan komik tersebut kepada Presiden China Xi Jinping?

Jika Pejabat Perdana Menteri bercakap benar, ini bermaksud ada pihak yang telah menyalahgunakan kuasa membawa masuk komik BRI tersebut ke tempat persidangan tanpa melalui prosedur dan saluran yang sah untuk diserahkan kepada Xi Jinping tanpa Dr Mahathir mengetahui isi kandungannya terlebih dahulu.

Pejabat Perdana Menteri melalui kenyataan pada Jumaat menjelaskan bahawa komik BRI tersebut dibawa ke tempat persidangan tanpa melalui prosedur dan saluran yang sah, dan ia bukanlah sebuah hadiah rasmi, malah perdana menteri langsung tidak mengetahui isi kandungannya.

Meskipun Pejabat Perdana Menteri telah membuat penjelasan, Malaysia telah menjadi bahan jenaka antarabangsa.

Kerajaan wajar menyiasat sehingga ke akar umbi, siapakah dalang yang telah berjaya mengelakkan prosedur penapisan, dan adakah terdapat unsur-unsur kecuaian atau salah guna kuasa, seterusnya menghukumnya dengan setimpal bagi membela nama baik negara.

Insiden ini jelas menunjukkan terdapat kecacatan dari segi prosedur penyampaian hadiah diplomatik.

Sekiranya bahan sensitif atau haram di China disampaikan melalui tangan perdana menteri kepada presiden China, bencana diplomatik yang besar akan terjadi, lebih-lebih lagi China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia, dan hubungan baik kedua-dua negara amat penting sekali. – 23 Oktober, 2019.

* Tee Ching Seng adalah pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen