LANGSUNG:Najib tidak boleh didakwa bawah Akta SPRM, kata Shafee


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak dihadapkan dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Oktober, 2019.

PASUKAN peguam bela bekas perdana menteri Najib Razak dijangka akan menggulung penghujahan lisan mereka hari ini, bahawa tiada bukti yang cukup untuk meneruskan perbicaraan kes SRC International.

Mereka dijangka akan meminta mahkamah mengenepikan dokumen yang dikemukakan oleh pendakwaan, terutamanya yang mengandungi tandatangan Najib yang menurut mereka adalah palsu.

Pertuduhan ke atas Najib berkenaan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International pada 2011 dan 2012. Beliau dituduh menerima RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Najib, 66, dihadapkan dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Ahli Parlimen Pekan itu berdepan hukuman penjara 20 tahun jika disabitkan bersalah.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan memberi keputusan pada 11 November sama ada bekas perdana menteri itu akan dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan.

Najib diwakili sekumpulan peguam bela yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan.

The Malaysian Insight membawakan anda secara langsung perbicaraan hari ini: 

2.15pm: Mahkamah ditangguhkan sehingga November.

2.08pm: Shafee berkata mengikut akta SPRM anak guamnya kebal daripada mana-mana pertuduhan.

Katanya, Seksyen 23 (4) Akta SPRM menyatakan bahawa: Seksyen ini tidak terpakai bagi seseorang pegawai yang memegang jawatan di dalam badan awam sebagai wakil badan awam lain yang mempunyai kawalan atau kawalan separa atas badan awam yang disebut dahulu berkenaan dengan apa-apa perkara atau perkara yang dilakukan atas sifatnya sebagai wakil sedemikian bagi kepentingan atau kelebihan badan awam itu yang lain.

Peguam bela Najib selesai menyampaikan hujah.

2.03pm: Shafee menutup hujahnya dengan berkata,“Yang Arif tidak boleh memanggil tertuduh membela diri hanya untuk mengetahui apa yang beliau akan katakan. Itu bukan cara mahkamah ini berfungsi.”

Katanya, mahkamah tidak boleh mempersoalkan mengenai tindakan Jho Low kerana kes ini melibatkan seorang penipu.

“Kita tidak tahu apa dalam kepala seorang penipu, ada beribu kesimpulan yang kita boleh gunakan.”

1.55pm: Shafee berhujah bahawa menurut akta keterangan, pihak yang mahu mengemukakan salinan dokumen sebagai bukti perlu menyertakan dokumen asal untuk diterima mahkamah.

1.30pm: Shafee berkata pengarah-pengarah SRC International menguasai syarikat dan Najib tidak mempunyai kuasa terhadap aset syarikat.

12.43pm: Shafee membacakan undang-undang kes iaitu kesalahan di bawah Amla perlu dibuktikan sebagai kesalahan predikat (predicate offence).

12.32pm: Shafee berhujah bahawa jika si A merasuah si B, maka Amla hanya terpakai jika B membuat transaksi menggunakan wang tersebut.

12.16pm: Shafee membacakan kronologi pindahan dana ke akaun Najib.

12.12pm: Prosiding bersambung. Shafee mula menggulung hujah.

Peguam itu berkata beliau akan menjelaskan pertuduhan terhadap Najib. Tambahnya,  Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) agak baharu, dan tidak banyak kes untuk dijadikan rujukan.

11.50am: Shafee mohon berhenti rehat sebelum menggulung hujah.

Muhammad Shafee Abdullah menggulung hujah pasukan pembelaan pada perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib Razak hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Oktober, 2019.

11.41am: Peguam bela, Farhan Read beritahu Hakim Nazlan penubuhan SRC International adalah inisiatif kepentingan awam. Beliau juga berkata saksi ke-45 pendakwaan, Wan Aziz Wan Abdullah ketika memberi keterangan berkata tiada jalan pintas supaya pinjaman diluluskan.

Farhan berkata peguam negara boleh membaca afidavit Ling Liong Sik jika ingin tahu apa yang perlu Najib kata di mahkamah.

11.15am: Harvinderjit dalam hujahnya berkata Najib tidak membuat laporan polis berkenaan transaksi antara Disember 2014 dan Februari 2015 kerana siasatan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sedang berjalan ketika itu.

Skandal 1MDB ketika itu disiasat oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan pada Julai 2015, SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

10.35am: Harvinderjit berhujah bahawa tandatangan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan pengarah-pengarah lain disalin supaya transaksi Rentas boleh dilakukan. 

10.18am: Harvinderjit berhujah bahawa dokumen yang dikemukakan oleh pendakwa tidak boleh diterima kerana sukar untuk ditentukan sama ada ia dokumen asal atau salinan.

Peguam bela Najib itu kini ke bahagian lain dalam penghujahannya.

10.05am: Pasukan peguam bela mohon ketepi beberapa dokumen sebagai bukti.

9.45am: Sithambaram beritahu Hakim Nazlan dokumen yang diperolehi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh diterima di mahkamah.

9.25am: Mahkamah bersidang. Sithambaram memulakan penghujahan.– 23 Oktober, 2019.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen