Azmin, jangan jadikan Dr Mahathir munafik


SAYA ingin merujuk kepada kenyataan terbaru Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menghabiskan penggal sebagai perdana menteri hingga Pilihan Raya Umum ke-15.

Pada pandangan saya kenyataan beliau tidak lain selain cuba “menjilat” Dr Mahathir dan cuba untuk menghalang Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri walaupun isu ini sebenarnya sudah selesai dan pimpinan keempat-empat parti telah maklum akan peralihan kuasa ini.

Azmin dilihat semakin tidak senang duduk akan keadaan terkini apatah lagi ketika peralihan kuasa semakin hampir.

Akan ada kenyataan dari beliau dan “orang-orangnya” untuk menentang peralihan kuasa sedangkan pimpinan keempat-empat parti tidak mempunyai isu untuk menangguh mahupun menentang peralihan kuasa samada dari Bersatu, Amanah, DAP dan PKR sendiri.

Azmin juga menyatakan “mereka yang berhasrat untuk mengambil-alih sebelum berakhirnya penggal kerajaan sekarang harus dirujuk sebagai ‘kerajaan pintu belakang’ .”

Saya merasakan beliau perlu “cermin diri” dan imbas kembali bagaimana beliau menjadi menteri besar Selangor dan mengulangi perkara sama kepada menteri besar Selangor hari ini. Beliau menjadi menteri besar Selangor walau individu lain yang telah dipersetujui. 

Begitu juga bila pemimpin keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan menandatangani persetujuan untuk mengangkat individu lain sebagai menteri besar Selangor menggantikan Azmin namun dengan “pengalaman pintu belakang” beliau berjaya menjadikan “orangnya” sebagai menteri besar Selangor hari ini.

Ini bukanlah kali pertama saya menegur Azmin supaya menghormati konsesus PH. Saya pernah mengeluarkan kenyataan bertajuk “Pakatan Rakyat Telah Berkubur, Azmin Perlu Sedar” pada 6 Julai 2017 selepas Azmin enggan mengiktiraf kerajaan PH di Selangor dan masih ingin meruskan kerjasama dengan PAS yang telah mengkhianati Pakatan Rakyat pada masa itu. Begitu juga Zuraida Kamarudin yang menolak pembentukan PH.

Namun hari ini, Azmin menjadi menteri kanan dalam kerajaan yang beliau tentang penubuhannya dulu. 

Ketika pimpinan lain berusaha menubuhkan PH di peringkat negeri dan kawasan, beliau sibuk berkempen bersama PAS dan masih menolak Dr Mahathir sebelum PRU14. 

Hari ini beliau merupakan menteri hal ehwal ekonomi di bawah kerajaan PH.

Tindakan beliau jelas seolah mengajak pimpinan lain untuk menjadi “munafik” seperti beliau dengan melanggar konsesus PH yang telah dipersetujui.

Umum mengetahui persetujuan mengangkat Anwar sebagai perdana menteri telah termaktub dalam Perjanjian Muafakat PH yang dipersetujui keempat-empat parti pada 6 Januari 2018 dan diumum semasa Konvensyen PH pada 7 Januari 2018. 

Dr Mahathir juga pernah menyatakan dengan jelas bahawa beliau akan menyerahkan jawatan kepada Anwar dalam tempoh dua (2) tahun dan tidak lebih tiga (3) tahun.

Negara amat memerlukan Anwar untuk menjadi perdana menteri Malaysia ke-8 bagi melaksanakan agenda reformasi seterusnya membina semula negara.

Adakah Azmin cuba menjadikan negarawan Dr Mahathir Mohamad seorang munafik? 

Adakah Azmin ingat Dr Mahathir akan mengikut kata-katanya dan merosakkan legasi gemilang yang beliau cuba bina semula selepas berjaya menumbangkan kerajaan kleptokrat Barisan Nasional, hanya untuk memenuhi keinginan peribadi beliau?

Saya ingin menasihatkan Azmin agar menjalankan tugas beliau sebagai menteri hal ehwal ekonomi selagi beliau masih memegang jawatan berkenaan ketika ekonomi negara masih terumbang ambing. 

Berhenti menjadi “menteri pengiring” kepada perdana menteri dan cuba menjadikan PH sebuah kerajaan yang tidak menepati janji. – 22 Oktober, 2019.

* Razeef Rakimin adalah setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Sabah merangkap ketua penerangan Pemuda PKR Sabah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen