Kerajaan Palestin perlu iktiraf Israel, lucut senjata Hamas, kata AS


Penasihat Donald Trump, Jason Greenblatt berkata kerajaan Palestin haruslah secara jelas dan nyata patuh kepada anti-keganasan, mengiktiraf negara Israel, bersetuju dengan perjanjian dan kewajipan yang terdahulu. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2017.

PENASIHAT Presiden Amerika Syarikat Donald Trump hari ini berkata, kerajaan perpaduan Palestin yang baru perlu mengiktiraf Israel dan melucutkan senjata Hamas, berikutan satu perjanjian damai yang ditandatangani minggu lalu.

“Mana-mana kerajaan Palestin haruslah secara jelas dan nyata patuh kepada anti-keganasan, mengiktiraf negara Israel, bersetuju dengan perjanjian dan kewajipan yang terdahulu antara kedua-dua pihak - termasuk melucutkan senjata pengganas - dan patuh kepada rundingan damai,” kata Jason Greenblatt, wakil khas Trump untuk rundingan antarabangsa, dalam satu kenyataan.

“Jika Hamas hendak memainkan peranan dalam kerajaan Palestin, ia mesti bersetuju dengan keperluan asas ini,” tambahnya dalam maklum balas pertama terperinci AS berhubung perjanjian perpaduan Palestin minggu lalu.

Kenyataan dari Greenblatt itu sama dengan maklum balas kerajaan Israel minggu ini di mana ia berikrar untuk tidak berunding dengan kerajaan perpaduan Palestin yang disertai Hamas melainkan kumpulan Islamis tersebut bersetuju dengan senarai tuntutan.

Tuntutan tersebut adalah termasuk mengiktiraf Israel dan menghentikan keganasan.

Pergerakan Fatah bimbingan Presiden Palestin Mahmud Abbas menandatangani perjanjian damai dengan Hamas di Kaherah minggu lalu bertujuan menamatkan perpecahan selama 10 tahun.

Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang diketuai Abbas itu telah mengiktiraf Israel, tetapi Hamas tetap dengan pendiriannya tidak mengiktiraf Israel dan telah disenaraihitam sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Israel dan Hamas telah berperang sebanyak tiga kali sejak 2008, dan Gaza telah berada di bawah sekatan Israel selama lebih dari satu dekad.

Mesir juga telah menutup sempadannya dengan Gaza sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hamas telah memerintah Gaza sejak merampasnya dalam perang saudara dengan Fatah pada 2007 berikutan pertikaian terhadap pilihan raya yang dimenangi oleh gerakan Islam tersebut. – AFP, 19 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen