Pengundi yakin BN menang Tanjung Piai


Mohd Farhan Darwis

Pusat gerakan BN untuk PRK Tanjung Piai di DUN Kukup. - Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Oktober, 2019.

PENYOKONG Barisan Nasional (BN) di Tanjung Piai yakin parti itu boleh menang pilihan raya kecil bulan depan namun berbeza pandangan mengenai calon yang sesuai diturunkan untuk mencabar Pakatan Harapan (PH).

Pengundi Melayu merasakan sudah sampai masanya kerusi itu ditandingi oleh calon Melayu manakala penyokong Cina berpendapat biarlah MCA terus mewakili BN, seperti sejak mula kawasan Parlimen itu dibentuk pada 2003.

“Keadaan semasa menunjukkan kerusi ini majoriti Melayu, jadi kita harap biarlah calon Melayu yang akan bertanding,” kata Shuib Parman, 55, pengundi dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nenas.

Penduduk Kampung Pengkalan Raja, itu berkata sewaktu kerusi Parlimen Tanjung Piai dimenangi BN, yang diwakili Wee Jeck Seng daripada MCA, komuniti Melayu kurang diberi perhatian.

Wee yang mewakili Tanjung Piai dua penggal selepas pilihan raya umum 2008 dan 2013 kalah dalam pilihan raya umum yang lalu kepada calon PH Dr Md Farid Md Rafik.

“Bantuan untuk kita cuma nampak bila bulan puasa, waktu itu baru ada beri bantuan beras atau kurma, waktu lain memang tidak ada.

“Kalau kali ini BN letak calon Umno, rasanya boleh menang. PRU14 pun kalah sikit sahaja, dalam 500 undi,” katanya ketika ditemui di Pekan Nenas, baru-baru ini.

Wee kalah dengan majoriti 524 undi pada PRU14, gagal mengekalkan majoriti besar 5,457 yang dimenanginya pada PRU13.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52,986 pengundi berdaftar dengan 26,565 pengundi mengundi di DUN Kukup, sementara 26,421 lagi di DUN Pekan Nenas. 

Anwar Sarip menaruh harapan tinggi agar BN meletakkan calon Melayu untuk bertanding pada PRK Tanjung Piai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Oktober, 2019.

Kawasan itu mempunyai mempunyai pengundi majoriti Melayu 57% manakala Cina 42% dan India 1%.

Seorang lagi pengundi Melayu, Anwar Sarip, 38, dari Kampung Parit Selangor juga berharap BN akan meletakkan calon Melayu yang beliau yakin mampu memberikan kelebihan kepada penduduk kampung sepertinya.

“Kalau boleh kita nak Melayu yang pegang, sebelum-sebelum ini berapa lama dah MCA yang pegang Tanjung Piai,” kata bapa kepada empat anak itu.

Bagaimanapun kebanyakan pengundi Cina yang ditemui The Malaysian Insight di Pekan Nenas dan Kukup mahu BN meneruskan tradisi mencalonkan wakil MCA, dan mereka mahu Wee kembali menjadi wakil rakyat.

Mereka melihat Wee, yang juga ketua MCA di Tanjung Piai, sebagai calon pilihan yang sudah memberikan khidmat terbaik sejak 2008.

“Keputusan semasa PRU14, kita tidak boleh ambil kira lagi kerana waktu itu kita mahu beri pengajaran kepada BN.

“Ini kali, kalau BN letak Wee, saya akan undi dia. Saya penyokong PH, tapi kalau Wee calon, saya undi dia,” kata Ee Long Chin, ketika ditemui di Kukup, baru-baru ini.

Bagi pengusaha perniagaan pau, yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Huat, 50, beliau mengenang khidmat Wee kepada komuniti Cina selama ini, yang katanya sekarang menjadi satu kerugian buat mereka selepas BN kalah pilihan raya.

“Sewaktu Wee menjadi wakil rakyat, setiap tiga bulan dia akan beri bantuan kepada orang susah, beri persatuan dana, orang miskin, golongan memerlukan, semua dia bantu. Dia bagi beras, minyak masak, macam-macam lagi. 

“Tapi bila dia kalah, orang susah tidak lagi menerima bantuan, wakil rakyat PH pun tidak ada nampak apa dia buat,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insight juga mendapati beberapa tokong Cina di sekitar Kukup sudah menaikkan kain rentang menyatakan sokongan kepada Wee.

Suasana di kampung perkampung nelayan yang kebanyakannya dihuni penduduk Melayu di Kukup in Tanjung Piai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Oktober, 2019.

PH gagal urus imej jadi kerajaan

Dalam pada itu, beberapa penyokong PH membayangkan mereka akan beralih mengundi BN pada pilihan raya kecil bulan depan kerana kecewa dengan parti sejak terpilih sebagai kerajaan.

Amy, 35, dari Kampung Melayu Kukup, kini tidak lagi mahu terlibat dengan urusan PH walaupun semasa PRU14 beliau ikut menyokong parti itu dan Farid semasa kempen pilihan raya.

“Saya sudah cuci tangan. Saya kecewa dengan pentadbiran setempat. Perjuangan saya waktu PRU14 adalah menentang kerajaan yang tidak mempedulikan rakyat selama 60 tahun mereka memerintah.

“Hari ini, tidak sampai dua tahun memerintah, mereka pun dah mula nak jadi seperti BN,” katanya. 

Chuan, 75, dari Pekan Nenas juga melihat PH gagal mengurus ekonomi dengan baik sehingga rakyat bawahan sepertinya merasakan keperitannya.

“Harga kelapa sawit sekarang berapa, satu tan RM300, macam mana nak hidup, selepas PRU14 harga terus jatuh, apa kerajaan tolong?

“Walaupun Wee bukan wakil rakyat, dia sekali sekala ada turun bantu orang susah, orang kerajaan pergi mana?” kata pekebun sawit itu. 

“Selepas menang PRU14, PH tidak menjaga rakyat lagi. Saya rasa ini kerajaan sepenggal sahaja.” 

Kelihatan kain rentang yang memaparkan gambar Ketua MCA Tanjung Piai, Wee Jeck Seng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Oktober, 2019.

Seorang ahli jawatankuasa DAP di Tanjung Piai yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Sang berkata kepada The Malaysian Insight, PH berdepan tugas sukar untuk dapat kembali sokongan seperti semasa PRU14 dulu.

“Di Kukup sahaja banyak isu belum selesai. Nelayan Melayu yang miskin, berumur 40 tahun ke atas adalah kira-kira 70% daripada komuniti perikanan di Kukup.

“Mereka berumur 30-an hingga 40-an ini golongan paling degil, boleh kata atas pagar, dan kebanyakan nelayan ini mereka masih belum dapat lesen daripada Jabatan Perikanan,” katanya.

Ah Sang berkata, amalan MCA yang menjaga badan kebajikan dan persatuan komuniti Cina turut menyukarkan PH dalam PRK ini.

“MCA sejak dahulu mereka beri sumbangan kepada persatuan penduduk, NGO, persatuan rumah ibadat.

“Tapi kami dalam DAP, pucuk pimpinan melarang kami campur adukkan politik dengan keagamaan dan kemasyarakatan, itu sebab Wee kita nampak sokongan daripada persatuan tinggi,” kata Ah Sang lagi. – 23 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen