Alahai, Azmin…


The Malaysian Insight

Kenyataan terbaru Azmin Ali menyokong mandat Dr Mahathir Mohamad diteruskan sehingga habis penggal banyak isunya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2019.

IKUT kata Mohamed Azmin Ali, yang kadang kala jadi menteri tetapi selalunya hanya pembela Dr Mahathir Mohamad, rakyat memberi perdana menteri mandat untuk kekal memimpin sehingga ke akhir penggal.

Tiada apa yang salah dengan kenyataan itu, cuma sokongan kepada sesiapa pun untuk jadi perdana menteri bukannya tanpa syarat.

Sudah tentu kita tidak boleh membenarkan seseorang kekal sebagai perdana menteri hanya kerana beliau memimpin sebuah parti politik menang pilihan raya. Sudah tentu bukan begitu.

Sudah tentu tidak akan ada sesiapa yang berdiam diri sekiranya perdana menteri tidak semena-mena menggantikan manifesto yang memberinya mandat rakyat dengan apa saja jalan yang akan mengekalkan beliau berkuasa.

Adakah rakyat Malaysia yang mendukung Dr Mahathir sebagai perdana menteri – kerana percaya beliau sudah bukan lagi autoritarian, akan menjadi pemimpin kepada semua rakyat Malaysia dan akan melaksanakan agenda reformasi Pakatan Harapan – akan yakin beliau masih layak memimpin sekiranya sudah terpesong dari landasan?

Semua ahli dalam kerajaan PH sebenarnya dalam tempoh percubaan. Lebih-lebih lagi Dr Mahathir.

Kenapa bebannya lebih berat pada beliau?

Beliau cukup meyakinkan semasa kempen PRU14, berpidato seperti seorang yang mahu membetulkan kesilapannya dan meletakkan semula negara ke landasan sebenar. Banyak pengundi ragu-ragu kerana darah Umnonya dan rekod lampau sebagai tokoh pembaharu.
Namun semua orang berhak dapat peluang kedua. Maka, Dr Mahathir pun dapat peluang kedua. Mereka yang dulunya beliau kritik dalam Dilema Melayu memberikan satu lagi peluang untuk menebus kesilapan.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan tempoh kedua Dr Mahathir setakat ini tidaklah sehebat yang digambarkan.

Hubungan kaum terasa semakin buruk dari hari ke hari, dibakar sudah tentunya oleh Umno dan PAS tetapi disemarakkan oleh sesetengah pihak dalam PH sendiri.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, sudah makin sukar rasanya mahu menanggung hidup.

Kebanyakan ahli jemaah menteri tidak dikenali. Hubungan dalaman PH sendiri pula boleh diistilahkan sebagai pincang.

Bagaimana lagi boleh digambarkan hubungan dalam pakatan kerajaan apabila setiausaha agung DAP, PKR, Amanah dan Bersatu mengeluarkan kenyataan mendedahkan Hishammuddin Hussein sedang cuba memecah-belahkan pakatan, sementara beberapa pemimpin PH buat-buat tidak tahu akan wujudnya pelan itu.

Lebih meresahkan ialah persepsi bahawa perdana menteri sudah lupa harapan rakyat apabila mereka memberi mandat kepada PH – sebuah Malaysia yang bersatu yang tidak digugat dengan beban kaum dan agama.

Kehadiran Dr Mahathir di Kongres Maruah Melayu tidak ubah seperti mengejek mereka yang mengembalikan beliau ke tampuk kuasa.

Beliau berkongsi pentas dengan pemimpin Umno dan PAS – parti politik yang dikecam sebagai rasuah dan merbahaya dalam kempen menjelang PRU14.

Dengan hadir ke kongres itu, beliau seolah-olah mendukung retorik pecah belah penceramahnya.

Bagaimana hendak menyatukan bangsa?

Jadi, Azmin, anda mungkin percaya bahawa Dr Mahathir berhak kekal sebagai sebagai perdana menteri sampai ke akhir mandatnya.

Tetapi tidak ada jaminan sebagai hak seperti itu.

Hakim terbaik adalah rakyat yang memberi Dr Mahathir dan PH kuasa – bukannya ahli politik atau menteri kabinet yang menggantungkan jawatan dan manfaatnya pada keadaan sedia ada yang tida berubah.

Rakyat Malaysia berpeluang menyatakan pandangan mereka tentang perdana menteri pada pilihan raya kecil di Tanjung Piai nanti. – 22 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen