Najib tak boleh kata tak tahu RM42 juta masuk akaun, kata Tommy Thomas


Bede Hong Timothy Achariam

Najib Razak tahu dan mempunyai sebab untuk sangsi wang RM42 juta dalam akaun peribadinya di AmBank adalah hasil aktivit haram. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Oktober, 2019.

NAJIB Razak tidak boleh mendakwa tidak mengetahui tentang RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya kerana beliau mempunyai kawalan penuh ke atas SRC International ketika itu, kata Tommy Thomas.

Pada sesi penghujahan akhir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Peguam Negara berkata Najib perlu menjelaskan mengapa lebih 100 keping cek dikeluarkan daripada dua akaun peribadinya di AmBank walaupun gajinya kurang RM1 juta setahun.

Thomas berkata Najib “tahu, atau ada sebab untuk percaya atau mempunyai syak wasangka munasabah” bahawa wang di dalam akaun AmBanknya adalah hasil aktiviti salah.

Pertuduhan ke atas Najib berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, beliau dituduh menerima suapan bernilai RM42 juta dalam akaunnya antara 2014 dan 2015. Beliau adalah perdana menteri sejak 2009 hingga 2018.

Pada sesi penghujahan akhir pihak pendakwaan tengahari tadi, Thomas berhujah yang pemimpin berusia 66 tahun itu gagal bertindak memastikan sama ada wang tersebut adalah hasil aktiviti haram atau tidak.

“Walaupun terdapat banyak bukti, pihak pembelaan mendakwa pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mengetahui RM42 juta yang dipindahkan ke akaunnya daripada SRC International,” kata Thomas.

“Kerana itu, pihak pembelaan mendakwa mereka tidak perlu membuktikan wujud unsur ‘ketidakjujuran’ kerana tertuduh tidak bertindak dengan tidak jujur berkaitan RM42 juta SRC International yang masuk ke dalam akaun tertuduh. Ini adalah penghujahan luar biasa yang dibuat pihak pembelaan.”

Thomas berkata pendakwaan berjaya menunjukkan Najib mendesak pinjaman sebanyak RM4 bilion walaupun Unit Perancang Ekonomi pada 2012 berkata geran kerajaan sebanyak RM3 bilion tidak boleh diberikan kerana SRC International hanyalah syarikat dengan modal permulaan RM2 dan tiada rekod pencapaian.

“Memandangkan SRC International gagal mendapatkan RM3 bilion daripada kerajaan, dengan sokongan dan kesediaan tertuduh, SRC International akhirnya mendapat pinjaman RM4 bilion daripada KWAP pula,” kata Thomas. – 22 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen