SARAWAK berada “jauh lebih teruk” berbanding Pulau Pinang dalam kaji selidik pendapatan isi rumah yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Negara tahun lalu berpunca daripada dasar ekonomi negeri yang diterajui kerajaan Barisan Nasional, kata Pakatan Harapan Sarawak.
Ia menyalahkan kerajaan Sarawak kerana “membenarkan beberapa keluarga terpilih dan kartel untuk memonopoli dan mengawal eksploitasi sumber semula jadi sambil memusnahkan majoriti keluarga biasa Sarawak”.
Pengerusi PH Sarawak yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen berkata, menurut kajian itu, pendapatan min isi rumah kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang adalah RM6,771 dan pendapatan isi rumah median adalah RM5,409. Sementara pendapatan isi rumah min Sarawak adalah RM5,387 dan pendapatan isi rumah mediannya adalah RM4,163.
Purata pendapatan isi rumah min adalah purata bulanan isi rumah bulanan manakala pendapatan isi rumah median merujuk kepada tahap majoriti pendapatan isi rumah.
Pendapatan isi rumah bersih min atau median, selepas cukai dan sumbangan mandatori, adalah penunjuk yang baik dari taraf hidup.
“Pendapatan isi rumah min Pulau Pinang dianggarkan lebih 25% berbanding Sarawak, manakala pendapatan isi rumah median Pulau Pinang dianggarkan 30% lebih tinggi berbanding Sarawak,” kata Chong hari ini.
“Pendapatan isi rumah median Pulau Pinang menjadi 30% lebih tinggi berbanding Sarawak bermaksud lebih 50% keluarga di Pulau Pinang mempunyai pendapatan 30% lebih tinggi berbanding keluarga di Sarawak.
“Ini perbezaan yang ketara dalam tahap pendapatan isi rumah.
“Perbezaan ini menjadi lebih signifikan sekiranya dibandingkan dengan sumber semula jadi yang ada di dua negeri itu,” kata Chong.
“Tiada langsung sumber semula jadi di Pulau Pinang.
“Sebaliknya, Sarawak memiliki banyak sumber semula jadi.
“Royalti minyak dan gas sahaja menjana lebih RM1.5 bilion pendapatan tahunan Sarawak dan perlombongan serta kuari menjana RM23 bilion kepada pengeluaran dalam negeri kasar.
“Industri pembalakan menjana RM7 bilion dalam pendapatan eksport untuk negeri setiap tahun.”
Chong berkata, dengan sumber semula jadi yang sedia ada di Sarawak, pendapatan isi rumah min dan median negeri itu sepatutnya lebih tinggi berbanding penduduk Pulau Pinang dengan sekurang-kurangnya 30%.
Chong berkata sekiranya kerajaan Sarawak boleh menguruskan ekonominya sebaik kerajaan Pulau Pinang, dengan tambahan pendapatan yang dijana menerusi sumber semula jadi, setiap “keluarga di Sarawak akan berpendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan”.
“Daripada statistik ini, ianya jelas bahawa kerajaan BN Sarawak melakukan sesuatu yang tidak baik kepada penduduk Sarawak dengan membenarkan golongan terpilih untuk memonopoli, mengawal dan mengeksploitasi sumber semula jadi kita.
“DAP menggesa liberalisasi dan sosialisasi ke atas sumber semula jadi Sarawak bagi membolehkan semua rakyat biasa Sarawak dapat menikmatinya dan mendapat kelebihan daripada kekayaan semula jadi negeri.”
Dalam kajian itu, Sarawak lebih baik berbanding Sabah, Perak, Pahang, Kedah dan Kelantan manakala Perlis berada di kedudukan atas Sarawak.
Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan isi rumah tertinggi, diikuti Selangor, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perlis. – 19 Oktober, 2017.
Komen