Geng rantau tumpas, 5 lelaki Indonesia ditahan


POLIS Pulau Pinang menumpaskan geng rantau yang aktif menjalankan samun dan pecah rumah menggunakan senjata tajam selepas menahan lima lelaki warga Indonesia dalam dua serbuan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Zainol Samah berkata polis telah menubuhkan pasukan khas dan melancarkan Ops Rantau Steady selepas menerima enam kes pecah rumah membabitkan warga asing sejak dua minggu lepas sebelum berjaya mengesan tiga lelaki yang menaiki bas ekspres di Terminal Bas Sungai Nibong menuju ke Larkin, Johor pada Ahad malam.

“Polis bertindak mengekori bas itu sehingga ke Terminal Hentian Dua di Kuala Lumpur dan berjaya menahan tiga lelaki tersebut pada 2 pagi semalam serta merampas pelbagai barangan dan wang tunai daripada mereka dipercayai hasil kegiatan pecah rumah. Mereka dipercayai mahu pulang ke Batam, Indonesia,” katanya pada sidang akhbar di George Town hari ini.

Katanya bertindak hasil maklumat daripada tiga lelaki itu, polis menyerbu kawasan hutan Bukit Gambir yang dijadikan lokasi geng tersebut bersembunyi pada 5.45 pagi dan berjaya menahan dua lelaki termasuk ketua kumpulan berkenaan dalam khemah dibina mereka dalam hutan yang terletak kira-kira dua kilometer dari jalan besar.

Menurutnya susulan penahanan lima lelaki berusia 26 hingga 56 tahun itu, polis merampas 20 unit telefon bimbit dan tablet, pelbagai pakaian berjenama, barang kemas, jam tangan berjenama dan wang tunai pelbagai mata wang kira-kira RM3,500 serta parang, sabit, pedang dan kuku kambing.

Zainol berkata modus operandi geng itu ialah menyasarkan kawasan perumahan mewah yang terletak di pinggir hutan atau bukit di daerah Timur Laut serta Barat Daya sebelum mereka bersembunyi di kawasan itu dan melakukan pecah rumah pada awal pagi iaitu pukul 3 pagi hingga 5 pagi.

“Mereka yang lengkap memakai topeng muka, bersarung tangan serta bersenjatakan parang, pisau dan sabit memecah masuk ke dalam rumah sebelum mengikat semua mangsa serta mengambil wang tunai, barangan berharga seperti jam tangan, barangan kemas dan telefon bimbit. Selepas itu geng tersebut akan melarikan diri ke dalam hutan untuk bersembunyi,” katanya.

Katanya siasatan juga mendapati lima lelaki itu pernah bekerja di Pulau Pinang sebelum ini sebagai pekerja kuari serta buruh binaan sebelum pulang ke negara asal dan kembali ke sini semula serta mereka mempunyai pengetahuan serta selok-belok kawasan di George Town.

Beliau berkata ada antara lima lelaki itu masuk ke negara ini melalui jalan yang sah manakala selebihnya menggunakan laluan ‘tikus’ iaitu jalan haram di Johor serta Selangor dan mereka akan pulang ke negara asal selepas memperoleh hasil lumayan dalam pecah rumah untuk menghantarnya sebelum datang semula bagi menjalankan kegiatan jenayah.

“Polis menamakan operasi itu sebagai Ops Rantau Steady kerana semua kejadian pecah rumah yang dilakukan oleh geng tersebut, suspek akan memberi amaran kepada mangsa dengan berkata ‘You steady, kami steady.. kami cuma mahu wang sahaja’,” katanya.

Menurutnya ketua geng itu yang berusia 56 tahun merupakan seorang daripada tiga suspek yang berjaya meloloskan diri semasa polis membuat serbuan dalam satu kejadian pecah rumah yang berlaku di Taman Sungai Ara, Bayan Lepas pada November 2017 dan dia memang dikehendaki polis kerana terlibat jenayah.

“Polis percaya dengan penahanan lima lelaki itu kami telah berjaya menyelesaikan 13 kes samun dan pecah rumah yang berlaku di Pulau Pinang sejak awal tahun ini membabitkan kerugian RM500,000. Mereka kini direman untuk siasatan lanjut menurut Seksyen 395/397 serta 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – Bernama, 22 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen