4 pelabur strategik disenarai pendek pulihkan Malaysia Airlines


Ragananthini Vethasalam

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata sinergi operasi dan perbelanjaan berhemah akan membolehkan MAB bangkit semula sebagai syarikat penerbangan yang mampan dan berprestasi tinggi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2019.

KHAZANAH Nasional Bhd dan Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB) menyenarai pendek empat pelabur strategik untuk memulihkan syarikat penerbangan nasional, kata Mohamed Azmin Ali.

Menteri hal ehwal ekonomi itu memberitahu Dewan Rakyat hari ini, syarikat pelaburan Khazanah dan MAGB, yang merupakan syarikat induk Malaysia Airlines Bhd (MAB), menjemput 20 pelabur strategik Ogos lalu untuk kemungkinan untuk jalinkan kerjasama.

Tawaran oleh 20 pihak itu diteliti sejak bulan lalu. Empat yang disenarai pendek kini tertakluk kepada penilaian selanjutnya.

“Khazanah dan MAGB akan menilai empat pelabur yang disenarai pendek dengan teliti dan lengkap,” kata Azmin.

Beliau berkata penekanan akan dibuat untuk mewujudkan sinergi operasi dan menggalakkan perbelanjaan berhemat, yang akan membolehkan MAB bangkit semula sebagai syarikat penerbangan yang mampan dan berprestasi tinggi.

Perjanjian kerahsiaan (NDA) akan menghalang butirannya daripada terdedah kepada umum, katanya.

Dalam soalan tambahan oleh Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit) mengenai bila masalah kewangan MAB dijangka berakhir, Azmin berkata semua cadangan untuk mencapai matlamat itu akan dibentangkan di mesyuarat lembaga pengarah Khazanah selepas penilaian lanjut mengenai tawaran empat pihak itu selesai bulan depan.

“Sekiranya lembaga Khazanah bersetuju dengan cadangan yang dibentangkan, kami berharap keputusan boleh dibuat mengenai rakan kongsi strategik jangka panjang untuk MAB menjelang akhir tahun ini atau awal tahun 2020.”

Menjawab soalan tambahan Mustapa Mohamed (PH-Jeli) mengenai sama ada kerajaan akan terus memegang “saham emas” dalam syarikat penerbangan tersebut dan jika ia akan bekerjasama dengan Kumpulan AirAsia, Azmin berkata Putrajaya berhasrat untuk terus memegang kepentingan besar, melalui Khazanah, dalam struktur baru MAB.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat memuktamadkan perkara ini lagi kerana proses penilaian sedang diteruskan. Terdapat rakan kongsi strategik yang berpotensi untuk memegang saham majoriti, dan terdapat juga pandangan bahawa Khazanah harus mengekalkan kepentingan majoriti. Semua ini sedang dipertimbangkan.

“Apa yang paling penting adalah kerajaan akan terus memegang saham majoriti dalam struktur baru.”

Berhubung AirAsia, beliau berkata Putrajaya tidak boleh mendedahkan butiran lanjut kerana ia tertakluk dengan NDA.

Bagaimanapun katanya, terdapat pemain antarabangsa dan serantau yang dipertimbangkan.

Sejak Khazanah memulakan pelan pemulihan 12 mata, MAGB melaporkan kerugian sebanyak RM1.2 bilion setahun untuk 2015 dan 2017, dan RM799 juta untuk 2016. – 22 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen