KEMENTERIAN Dalam Negeri tidak ada rekod permohonan penceramah kontroversi Zakir Naik bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia, kata menterinya Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Pang Hok Liong (PH-Labis) di Dewan Rakyat hari ini.
Zakir, warganegara India, dikehendaki di negara asalnya atas tuduhan pengubahan wang haram dan keganasan.
Pang dalam soalannya mahu tahu mengapa permohonan penduduk tetap Zakir dikeluarkan dengan cepat, dan adakah permohonannya untuk kewarganegaraan akan diproses.
Katanya, terdapat 12,000 permohonan di mana kes belum diselesaikan.
Muhyiddn berkata kad MyPR Zakir dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara mengikut subseksyen 5(3)(b) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Katanya, untuk mendapatkan taraf penduduk tetap di negara ini, pemohon perlu mempunyai pasport sah dan permit kemasukan sah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.
Zakir mendapat perlindungan di Malaysia.
India beberapa kali gagal memujuk Malaysia mengekstradisi Zakir.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada mulanya berkata pelarian itu boleh tinggal di sini selagi beliau tidak membuat masalah.
Dr Mahathir juga bimbang Zakir akan diseksa dan dibunuh jika dihantar pulang ke India.
Selepas beberapa ketegangan berlaku dengan masyarakat Cina dan India Malaysia, yang tercetus akibat kenyataan dibuat penceramah itu, di mana Zakir secara terbuka bertelagah, menyebabkan pemimpin India tempatan mendesak beliau dihantar pulang.
Susulan itu, Dr Mahathir berkata beliau sedia menghantar Zakir ke tempat lain, tetapi tiada pihak yang mahu.
India kemudian memberi respons dengan berkata ada satu negara yang mahukannya, tetapi Malaysia tidak mengendahkannya. – 22 Oktober, 2019.
Komen