.jpg)
ISU kebajikan mahasiswa di luar kampus sebenarnya sudah lama berlarutan, namun tidak pernah dibincangkan dengan lebih serius di peringkat nasional. Melihat kepada situasi ini, mahasiswa yang datang daripada keluarga B40 yang lebih terkesan berikutan kekangan kewangan yang dihadapi.
Pinjaman PTPTN atau peruntukan biasiswa yang diterima oleh mahasiswa masih tidak mencukupi untuk menampung kos sewa rumah yang mana kebanyakan mahasiswa akan menggunakan wang sedia ada untuk bukan sekadar pembelian bahan bacaan dan nota, malah juga untuk pembayaran yuran dan perkara lain seperti kos makan dan minum, kenderaan persendirian atau awam dan lain-lain.
Malah, ada juga sebilangan mahasiswa yang menghulurkan duit belanja mereka kepada keluarga bagi membantu ibu bapa mereka di kampung.
Maka, mahasiswa tidak mempunyai cara yang lain selain daripada berjimat dengan penuh cermat, termasuklah terpaksa hidup dalam keadaan sesak bersama mahasiswa lain dalam satu rumah yang kecil.
Memberi peluang kepada mahasiswa untuk bekerja separuh masa sama ada di dalam kampus atau di luar bukanlah satu solusi terbaik kerana masa yang sangat padat yang terpaksa dilalui oleh mahasiswa setiap semester demi semester.
Isu ini boleh diatasi sekiranya pihak universiti memberi keutamaan kepada mahasiswa B40 terlebih dahulu untuk menetap di dalam kampus dan segera menghentikan pendekatan merit.
Pendekatan merit melalui cara menghadiri program ini amat tidak adil berikutan mahasiswa B40 terpaksa bersaing dengan mahasiswa lain untuk mendapatkan peluang penempatan di dalam kampus, termasuklah mahasiswa yang terlibat dengan aktiviti kor-kepimpinan seperti mahasiswa SUKSIS, SISPA dan lain-lain.
Selain itu, setiap universiti mempunyai entiti perniagaan yang boleh mengambil inisiatif untuk membeli aset seperti rumah untuk disewakan pada kadar rendah untuk mahasiswa tidak mempunyai peluang tinggal di dalam kampus.
Usaha ditunjukkan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya dalam membantu mahasiswa dengan mendapatkan rumah sewa adalah satu pendekatan yang perlu dicontohi oleh semua Majlis Perwakilan Pelajar di seluruh universiti dalam menjaga kebajikan siswa luar kampus.
Selain itu, Kementerian Pendidikan perlu memulakan langkah untuk berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mewujudkan satu penempatan khas untuk mahasiswa seperti mana usaha DBKL dalam membantu mengurangkan bebanan rakyat ibu kota dalam mendapatkan ruang atau bilik sewaan pada kadar rendah.
Ruang selesa dengan kadar sewaan yang mampu ditanggung oleh mahasiswa amat penting bagi memudahkan urusan mahasiswa meneruskan pembelajaran mereka tanpa sebarang kesulitan.
Kami yakin, dengan usaha daripada semua pihak, isu kebajikan siswa luar kampus akan mampu ditangani secara bersama dengan lebih efektif.
Youth Build Nation dan Helping Hands Project UM, sebuah gerakan mahasiswa Universiti Malaya akan menjalankan program “Jelajah Luar Kampus” yang bertujuan untuk memberikan sumbangan dan bantuan kepada mahasiswa yang menetap di luar kampus. Ini merupakan usaha kami dalam bersama-sama kerajaan menangani isu ini.
Kami mengharapkan agar kerajaan mengambil isu ini dengan serius bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat kekal terjamin dan diperbaiki dari semasa ke semasa seiring dengan hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. – 22 Oktober, 2019.
* Haissazc Shuqkin Hisham ialah presiden Youth Build Nation.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen