6 warga Kemboja ditahan ceroboh hutan Terengganu


Enam rakyat Kemboja yang ditahan kerana menceroboh kawasan Hutan Simpan Tembat di Hulu Terengganu, Terengganu.– Gambar Facebook, 22 Oktober, 2019.

ENAM rakyat Kemboja ditahan kerana menceroboh kawasan Hutan Simpan Tembat di Hulu Terengganu, Terengganu hujung minggu lalu dan disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah membabitkan hidupan liar, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Mereka ditahan pada Sabtu, 19 Oktober dalam Operasi Bersepadu Khazanah yang disertai bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Polis Di-Raja Malaysia, Pasukan Gerakan Am dan pertubuhan alam sekitar Rimba, katanya.

Semasa ditahan enam penceroboh itu ditemui memiliki masing-masing satu cengkerang kura-kura, taring babi hutan, tanduk haiwan liar, gading gajah dan empat bulu burung kuang raya.

“Syabas dan tahniah atas kejayaan ini. Ini adalah amaran tegas kepada mereka yang melakukan jenayah hidupan liar dan menceroboh kawasan hutan.

Khemah yang menjadi tempat tinggal sementara enam warga Kemboja di Hutan Simpan Tembat di Hulu Terengganu. – Gambar Facebook, 22 Oktober, 2019.

“Kita akan buru dan tangkap anda,” kata Xavier dalam satu mesej di Facebook, mengiringi kenyataan rasminya sebagai menteri.

Dalam kenyataan rasminya, Xavier berkata pihak berkuasa turut merampas beberapa peralatan mengambil gaharu dan sebungkus kayu gaharu.

Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perhutanan Negara 1984.

Operasi Bersepadu Khazanah ini adalah yang keenam selepas lima operasi sebelum ini, antara 10 September dan 16 Oktober, menahan 49 orang di beberapa lokasi termasuk Taman Negeri Royal Belum di Perak dan Taman Negara Endau Rompin di Johor.

Hanya dua daripada 49 yang ditahan adalah rakyat Malaysia, selebihnya warga Thailand, Bangladesh, Indonesia, Myanmar, dan China.

Menurut Xavier, Operasi Bersepadu Khazanah bertujuan membanteras segala bentuk aktiviti pemburuan haram, penyeluduhan hidupan liar dan apa saja pelanggaran akta melibatkan pemuliharan dan perlindungan hutan dan hidupan liar.

Beliau juga berharap orang ramai akan terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam membantu usaha menjaga khazanah negara.

“Adalah diharapkan orang ramai akan terus memberikan sokongan dan bantuan dengan menjadi mata dan telinga Perhilitan dan PDRM bagi membantu program Operasi Bersapadu Khazanah ini melalui penyaluran maklumat dalam usaha melindungi khazanah negara supaya tidak diancam kepupusan,” katanya. – 22 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen